• 16 Apr 2024 | 7 Syawal 1445

Setiap Keluarga Satu Hafiz

Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN, 6 Julai - Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman mengimpikan agar setiap keluarga memiliki satu hafiz.

Bagi merealisasikan perkara berkenaan katanya, kesedaran daripada ibu bapa amat penting.

"Dimana ibu bapa perlu mengubah persepsi bahawa pengajian secara pondok atau maahad tahfiz yang melahirkan mereka yang menghafal al-Quran tidak menjamin masa depan.

"Sedangkan setiap rezeki itu telah ditetapkan oleh Allah lebih-lebih lagi kepada mereka yang mendekati al-Quran ataupun ajaran Islam yang menjadi penyuluh yang membawa kepada kesempurnaan hidup," jelasnya.

Beliau berkata demikian ditemui pihak media, selepas menyampaikan sumbangan didalam majlis ringkas meraikan 68 anak-anak Bukit Besi yang berjaya melanjutkan pengajian ke IPTA, kelmarin.

Katanya, telah ramai anak-anak dari setiap keluarga menyambung pengajian tinggi.

"Namun didalam bidang hafiz, kita masih ketandusan. Bukanlah bermaksud saya tidak mahu melihat anak yang menyambung pengajian didalam bidang yang lain.

"Cuma saya juga ingin melihat lahirnya hafiz daripada setiap satu keluarga," jelas beliau.

Kekurangan itu katanya dapat dikesan melalui perolehan dapatan secara rawak dilakukan beliau dengan ibu bapa di DUN berkenaan.

"Dimana mereka mengatakan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini tidak ramai anak-anak yang mampu menjadi imam dengan menghabiskan keseluruhan juzuk al-Quran ketika terawih pada Ramadhan yang lalu," ujarnya.

Katanya, pengajian pondok, maahad tahfiz sekarang ini telah berlakunya revolusi.

"Dimana banyak pengajian pondok yang turut menawarkan pengajian moden. Malah kerajaan Negeri Terengganu turut memberi jaminan.

"Mana-mana pelajar yang mengikuti pengajian hafiz di pondok juga berpeluang mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di TATI UC. Sebagaimana ramai yang maklum mengenai hal ini, dimana diberi jaminan tamat pengajian pondok boleh mengikuti pengajian didalam bidang kemahiran.

"Mungkin kesedaran disini masih kurang, bagaimanapun perkara ini akan cubalah saya tekankan, dan akan cuba promosikan kepada ibu bapa," ujarnya.

Selain itu katanya, tanggapan bahawa pengajian hafiz hanya diikuti oleh anak yang bermasalah tidak tepat.

"Kerana sesetengah ibu bapa akan menghantar anak mereka selepas anak mereka bermasalah di sekolah kebangsaan.

"Sedangkan anak yang paling pintar paling elok dihantar bagi mengikuti hafiz. Kerana berupaya untuk menghafal didalam waktu yang singkat.

"Lagipun jaminan kepada hafiz ini tinggi bukan hanya akan hidup mengikut panduan, malah menjamin terlahirnya anak soleh yang akan membahagiakan ibu bapa di akhirat kelak," ujarnya.