• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Setiu Juara Bola Sepak Piala YAB Menteri Besar Terengganu



Pasukan Setiu menjulang Piala YAB Menteri Besar Terengganu apabila muncul juara selepas menewaskan Kuala Nerus 2-0 di Kejohanan Bola Sepak Liga Darul Iman 2016, di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam tadi.

Ketua Jurulatih pasukan tersebut, Rosli Hasyim berkata, pada separuh masa pertama, pasukannya menggunakan strategi menekan dan menyerang pihak lawan sebelum menukarnya pada masa kedua.

“Separuh masa kedua pula, pertukaran pemain serta taktikal dilakukan bagi memburu gol sekaligus memenangi kejohanan ini.

“10 minit terakhir, taktikal yang digunakan mula berhasil apabila pihak lawan mula kehabisan stamina dan pada masa itulah kita berpeluang menjaringkan dua gol kemenangan,” katanya.


Turut hadir menyaksikan perlawanan tersebut Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman; Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia, Dato’ Rozi Mamat dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Dato’ Muhammad Pehimi Yusof.

Dalam perlawan tersebut, gol kemenangan dijaringkan oleh penyerang pasukan itu, Muhd Nuruddin Yusof pada minit ke-80 dan 84.

Dengan kemenangan itu, Setiu membawa pulang piala pusingan, medal dan wang tunai RM10,000 manakala naib juara, Kuala Nerus membawa pulang medal serta wang tunai  (RM7,000).

Berkongsi di tempat ketiga, pasukan Kuala Terengganu dan Hulu Terengganu dengan masing-masing membawa pulang RM3,000.

Kejohanan berkenaan adalah penganjuran kali kedua, selepas pertama kali diadakan pada 2014.

Tag: