• 16 Jun 2024 | 9 Zulhijah 1445

Shopee Cup Platform Terbaik TFC Mantapkan Pasukan

KUALA TERENGGANU, 16 Mei - Shopee Asean Championship Cup (ACC) merupakan platform terbaik bagi memantapkan Terengganu FC( TFC) untuk tampil lebih cemerlang bagi mengharungi kancah musim ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, bermain di peringkat Asean akan menjadi pengalaman yang berharga buat skuad penyu untuk musim 2024/2025.

"Paling penting sekali pengalaman dan juga untuk meningkatkan keyakinan pemain, untuk Shopee Cup ini kita tidak meletakkan sasaran yang terlalu tinggi.

"KIta hendak ambil keuntungan daripada pengalaman tersebut untuk ditejemahkan balik dalam aksi Liga Malaysia," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas hadir ke Majlsi Apresiasi Hi-Tea Penaja Terengganu Football Club Sdn Bhd, Sempena Pelancaran Kit Rasmi musim 2024/2025 di Cindai Ballroom, Duyong Marina & Resort Pulau Duyong, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TFC, Mohd Sabri Abas dan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Marzuki Sulong.

Dalam pada itu katanya, bagi menghadapi cabaran musim 2024/2025, TFC telah dipersiapkan untuk melakar kejayaan yang lebih membanggakan berbanding musim lalu.

"TFC akan mengharungi empat kejohanan musim ini tiga darinya Liga Malaysia iaitu Liga Super, Piala Malaysia dan Piala FA termasuklah satu daripadanya di peringkat Asean iaitu Shopee Asean Championship Cup," ujarnya.

Dalam perkembangan terkini katanya, TFC kini mempunyai 22 syarikat penaja dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM8.332 juta iaitu RM6.310 juta bagi tajaan wang tunai serta RM2.022 bagi tajaan perkhidmatan.

"Pada musim 2024/2025 ini saya mengalu-alukan kesudian pihak penaja TFC untuk turut bersama-sama di dalam rangka kerjasama strategik yang membawa manfaat dua hala," ujarnya.

 


Tag: