• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Sidang DUN : Bekalan Melon Manis Terengganu Hanya Dapat Penuhi Permintaan Tempatan


Projek Melon Manis Terengganu di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Besut belum memasuki pasaran luar negara kerana setakat ini tidak berupaya memenuhi permintaan dalam jumlah yang tinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi Negeri, Dato’ Muhammad Pehimi Yusof berkata, bekalan yang ada juga masih belum memenuhi pasaran tempatan.

“MMT merupakan satu produk yang menjadi kebanggaan bukan sahaja kepada petani tetapi rakyat Terengganu.

“Ianya bukan setakat dibeli untuk dimakan tetapi dijadikan sebagai buah tangan atau cenderahati,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sesi penggulungan di Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu, hari ini.

Dalam sesi soal jawab sebelum itu, Hilmi Harun (Pas-Manir) meminta penjelasan wakil kerajaan mengenai prestasi Melon Manis Terengganu.

Terdahulu, menjawab persoalan yang dibangkitkan Hilmi kononnya tidak disentuh mengenai portfolio pertanian dalam titah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, Pehimi (BN-Jertih) berkata, dalam titah ucapan baginda, Sultan Mizan menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana melaksanakan program iaitu program Penempatan Semula Nelayan (PSN) yang melibatkan jumlah kewangan RM13 juta untuk pembinaan 200 unit rumah.

“Ditambah lagi dengan bantuan kerajaan negeri iaitu tiga lokasi tanah yang melibatkan (Pulau Sekepeng) Kemaman, Benting Lintang (Besut) dan Seberang Penarik (Setiu),” ujarnya.

Menurut Pehimi, kerajaan negeri juga akan memberi sumbangan kewangan iaitu untuk penyediaan tanah dan juga kemudahan infrastruktur yang berkaitan dengan pembinaan rumah di ketiga-tiga tempat tersebut.

Tag: