• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

SIDANG DUN : Campur Tangan Keluarga Antara Punca Penceraian

KUALA TERENGGANU, 16 November - Campur tangan keluarga merupakan antara punca berlakunya 6,656 kes pembubaran perkahwinan atau penceraian di Terengganu sepanjang tempoh dua tahun bermula tahun lalu. 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, merujuk kepada statistik itu sebanyak 4,132 kes didaftarkan pada 2020, manakala bagi tahun ini sehinga 27 Oktober lalu adalah sebanyak 1,753 kes.

Katanya, mengikut pecahan daerah, Mahkamah Syariah (MS) Kuala Terengganu merekodkan jumlah kes peceraian tertinggi iaitu melibatkan 1,923 pasangan, dikuti MS Kemaman (1,151 kes), MS Dungun (1,003 kes), MS Besut (971 kes) MS Marang (751 kes) MS Hulu Terengganu (381 kes) dan MS Setiu pula mencatatkan 372 kes.

“Kategori umur yang terbabit dengan kes penceraian adalah dalam lingkungan 21 sehingga 65 tahun.

“Antara sebab menjadi punca perceraiaan kurangnya penghayatan pendidikan agama Islam, tiada persefahaman, masalah kewangan, faktor ekonomi, pengaruh media sosial, tidak bertanggungjawab dan campur tangan keluarga.

“Ada juga berkaitan kehadiran orang ketiga, kegagalan komunikasi, tidak adil dalam berpoligami, masalah penagihan dadah, keganasan rumahtangga, penderaan mental dan fizikal serta cemburu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Roslee Daud di Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Belas (Bajet) di Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Melihat keadaan itu, kerajaan negeri akan menambahkan baik Kursus Pra Perkahwinan sedia ada untuk tahun depan.

“Wujud modul khas berkaitan perancangan ekonomi dan  kewangan keluarga,  meneruskan program bulan madu kedua anjuran Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu dan melantik kaunselor bertauliah,” ujarnya.

 


Tag: