• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Sidang DUN : Langkah Efektif Selesai Serangan Gajah

KUALA TERENGGANU, 25 November – Kerajaan negeri memandang serius dan akan mengambil beberapa langkah bagi menyelesaikan masalah serangan gajah liar ke atas kebun para petani.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, kerajaan negeri melalui Tabung Amanah Hidupan Liar dengan kerjasama Jabatan Perhilitan Negeri menangani ancaman gajah melalui tembakan dan lampu LED.

“Selain itu, sistem pagar elektrik gajah komuniti (SPEGKOM) turut diwujudkan sepanjang 33KM di seluruh Terengganu

“Tiga Sistem Pagar Elektrik Gajah Komuniti (SPEGKOM) Kekal di Kampung Pelong, Setiu (33 km), di Kampung Payong hingga Kg. Chalok Barat, Setiu (25 km) dan di Kampung Lawit hingga Kampung Belukar Bukit, Hulu Terengganu (29 km).

“Manakala cadangan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 untuk pembinaan dua SPEGKOM kekal di Kampung Air Putih hingga Kampung Teladas (12 km) dan di Kampung Ban Ho hingga Cerul (15 km).

“Dengan populasi gajah liar sekitar 180 sahaja, usaha tertumpu seperti di Dungun, Hulu Besut, Kemaman dan Setiu iaitu diantara kawasan tumpuan haiwan liar," katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Ab Razak Ibrahim pada Sesi soalan lisan Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Terengganu ke-14 di Wisma Darul Iman, semalam.

Mengulas mengenai hasil pelaksanaan operasi kawalan gajah dan operasi tangkap pindah gajah, Dr Azman memberitahu, hasil 25 operasi dari Januari hingga September 2020, tiga ekor gajah ditangkap di Kemaman, Setiu dan Hulu Terengganu.

“Walau bagaimanapun, tindakan tangkap dan pindah merupakan jalan terakhir kerana kosnya yang tinggi dan mengambil masa yang lama," katanya lagi.

Dalam perkembangan sama, beliau turut memaklumkan, Tabung Bencana Pertanian telah disampaikan kepada kepada sembilan pekebun di Kampung Padang Star di Hulu Terengganu pada 2019, manakala tahun 2020 melibatkan bantuan serangan gajah di Setiu.