• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

SIDANG DUN : Liputan 4G Di Terengganu Bakal Capai 96 Peratus

KUALA TERENGGANU, 17 November – Terengganu menjangkakan peratusan liputan jalur lebar mudah alih 4G akan mencapai 96.18 peratus bagi kawasan berpenduduk di dalam negeri setelah semua projek di bawah pelan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) fasa 1 siap.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata, sebanyak 112 struktur komunikasi baharu akan dibina dalam fasa 1 tersebut.

“Ini termasuk 1,109 stesen pemancar akan dinaik taraf kepada liputan 4G/LTE dan 123,246 premis akan diliputi gentian optik (FTTH) dan dijangka siap sepenuhnya menjelang penghujung tahun 2022.

“Sehingga suku ke 3 tahun 2021, sebanyak 33 struktur pemancar baharu telah siap dan 762 struktur pemancar telah dinaik taraf kepada liputan 4G/LTE demi memastikan kesalinghubungan liputan rangkaian 4G.

“Perkembangan ini bakal menggantikan secara tetap liputan rangkaian 3G yang akan ditutup pada hujung tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa penggulungan bajet 2022 dalam Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Belas (Bajet) di Dewan Undangan Negeri, hari ini.

Tambahnya, bagi liputan talian tetap sebanyak 26,398 premis telah diliputi gentian optik (FTTH) yang mampu memberikan liputan internet yang lebih pantas dan stabil berkelajuan sehingga 100 Gigabit per second (Gbps).

“Pelaksanaan inisiatif-inisiatif ini telah menyumbang kepada peningkatan peratusan liputan rangkaian 4G di kawasan berpenduduk di Negeri Terengganu dari 93.68 peratus pada suku kedua tahun 2020 kepada 94.22 peratus setakat suku kedua tahun 2021.

“Sasaran telah ditetapkan di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) iaitu 100 peratus kawasan berpenduduk akan mendapat rangkaian liputan 4G berkelajuan purata 100 Megabyte per second menjelang tahun 2025 termasuk di Negeri Terengganu.