• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Sidang DUN: Pelaksanaan PITAS 2030  Beri Impak Positif

 

KUALA TERENGGANU, 24 November - Kerajaan negeri komited dalam melaksanakan Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) 2030 yang  memberi impak positif kepada rakyat Terengganu yang terjejas akibat Covid-19. 

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengajian Tinggi negeri, Dr Alias Razak berkata, dalam menghadapi penularan wabak Covid-19, pihaknya sentiasa peka dalam menyelesaikan masalah rakyat.

"Dasar ini turut memberi kesan jangka pendek dalam sosio-ekonomi negeri Terengganu.
 
"Sebagai contoh, sektor pertanian
Terengganu merekodkan pertumbuhan 5.8 peratus sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri apabila mencatat 3.3 peratus pada 2019 berbanding -2.5 peratus pada 2018. 

"Dalam sektor pelancongan pula,  PITAS 2030 merangka program Community Based Tourism (CBT) yang memberi pulangan secara terus kepada rakyat daripada aktiviti dan produk pelancongan.

"Ia terbukti menguntungkan komuniti apabila kedatangan pelancong ke Terengganu meningkat naik sebanyak 146 peratus semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP),"ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soal lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman di Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Keempat Belas(Bajet), hari ini.

Tambah beliau lagi, pengamalan norma baru akibat pandemik Covid-19 telah mempercepatkan era pendigitalan dalam perniagaan.

Katanya, antara elemen digital yang telah dilaksanakan adalah e-payment untuk CBT di Pulau Redang. 

"Ia memudahkan dan menggalakkan pelancong yang datang untuk berbelanja dan seterusnya ia memberi pulangan
kepada komuniti," ujarnya.