• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Sidang DUN : Peruntukan Pembinaan Rumah Asnaf Ditingkatkan


Jumlah peruntukan membina rumah untuk golongan asnaf telah ditingkatkan kepada RM60,000 seunit berbanding RM40,000 sebelum ini.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Tugas-Tugas Khas Negeri, Ghazali Taib berkata, kerajaan negeri turut menaikkan bantuan musibah kepada RM10,000 berbanding RM3,000 sebelum ini seperti kemusnahan rumah akibat kebakaran, ribut dan banjir.

"Ini adalah antara beberapa penambahbaikan yang dilaksanakan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) susulan cadangan Yang Berhormat Ladang seperti yang dibangkitkan dalam sidang dewan yang terdahulu.

 "Suka saya maklumkan bahawa kerajaan negeri mengambil cakna cadangan YB Ladang, kajian mengenai penambahbaikan bantuan kepada asnaf ini terus dilakukan dan peningkatan ini adalah antara tindakan yang diambil," katanya dalam sesi penggulungan di Persidangan Dewan Undangan Negeri, di Wisma Darul Iman, hari ini.  

Ghazali (BN-Ajil) berkata selain peningkatan peruntukan itu, bantuan lain seperti kursus kemahiran untuk anak asnaf, bantuan pelajaran secara 'one off' sebanyak RM1,000 setahun bagi semua pelajar di Institut Pengajian Tinggi yang mendapat CGPA 2.5 ke atas juga masih teruskan.

"Secara keseluruhannya, Maidam telah menyalurkan bantuan sebanyak RM91 juta kepada 50,652 ketua keluarga yang tergolong dalam kategori asnaf sepanjang tahun lalu.

"Mengenai perkara yang dibangkitkan wakil Ladang juga iaitu tempoh bantuan segera diberi kepada golongan miskin, setakat ini paling cepat, dua hari...namun jika kes itu perlukan maklumat sedikit, mungkin ambil masa yang agak lama...paling penting kita agihkan wang zakat ini secara menyeluruh kepada asnaf yang memerlukan," katanya.

Terdahulu, menjawab soalan Ariffin Deraman (Pas-Ladang) mengenai pelaksanaan projek WiFi Terengganu, Ghazali berkata sehingga kini sebanyak 408 hotspot telah beroperasi di 107 lokasi seluruh negeri itu.

 "Hanya dua daerah iaitu Dungun dan Kemaman masih belum ada kemudahan WiFi ini kerana ia bergantung pada pembinaan menara di Bukit Bauk dan Bukit Kemuning.

"Kita masih berusaha memastikan kemudahan WiFi ini dapat disediakan secara menyeluruh secepat mungkin agar sesuai sebagai sebuah destinasi pelancongan terkenal dalam negara," katanya. 

Tag: