• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

SIDANG DUN : Proses Pemuliharaan Muara Sungai Dungun Sedang Berjalan

KUALA TERENGGANU, 17 November – Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah mengangkat permohonan bagi cadangan Projek Pemuliharaan Muara Sungai Dungun yang kini telah diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11).

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata, kelulusan di dalam Rolling Plan-4 dianggarkan bernilain RM250 juta.

“Kini projek tersebut berada di peringkat penyediaan reka bentuk terperinci oleh perunding bermula Disember 2020.

“Jangkaan siap sepenuhnya reka bentuk pada Mac tahun hadapan.

“Projek ini akan dilaksanakan setelah semua prosedur perolehan kontrak diselesaikan sewajarnya yang dijangka pada pertengahan tahun 2022,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab perkara berbangkit oleh Rantau Abang semasa perbahasan bajet 2022 dalam Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Belas (Bajet) di Dewan Undangan Negeri, semalam.

Menjelaskan status terkini cadangan Projek Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3), Dr Mamad menambah, projek ini sedang dalam peringkat pelaksanaan kerja-kerja awalan melibatkan kajian, ujian tanah dan sebagainya.

“Laporan bagi kerja-kerja awalan ini telah telah di peringkat akhir penyediaan dan dijangka dibentangkan kepada Kementerian Kewangan pada Mac 2022.

“Kerajaan Negeri telah dimaklumkan bahawa Projek Lebuh Raya Pantai Timur (Fasa 3) LPT 3 telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan.

“Projek ini melibatkan jajaran laluan daripada Gemuruh - Pemaisuri Kampung Raja-Tok Bali sepanjang 100KM. Anggaran awal bagi kos pelaksanaan projek ini adalah RM2.8 bilion,” katanya lagi.