• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Sidang DUN : Sedia Teliti Cadangan Sedia Ruang Khas Untuk Keluarga Di Panggung Wayang




Kerajaan negeri bersedia meneliti cadangan supaya menambah baik kemudahan termasuk menyediakan ruang khas untuk keluarga di panggung wayang Paya Bunga (PB) Sentral, Kuala Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Dato’ Mohd Jidin Shafie berkata, kerajaan negeri bersedia meneliti cadangan Ariffin Deraman (Pas-Alor Limbat) supaya diadakan ruang khas berkenaan untuk penonton yang datang bersama keluarga selain pengasingan antara lelaki dengan perempuan.

Beliau berkata, walaupun cadangan itu agak 'membebankan' pengusaha panggung wayang tersebut, pihaknya akan melihat kesesuaian dan keperluan itu sebelum memutuskannya. 

"Sejak dilancarkan pada 18 Mac lalu, sambutan orang ramai sangat memberangsangkan. Setakat ini melalui pemerhatian semua panggung penuh dan ini menunjukkan sesuatu yang bagus.

"Kita kena ingat, tak semestinya yang datang tu belia sahaja, anak-anak dan ibu bapa, adik beradik pun datang tengok juga. Kita tengok nanti bagaimana boleh buat tambah baik," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi penggulungan persidangan penggal kelima Dewan Undangan Negeri Ke-13 di Wisma Darul Iman, hari ini.

Terdahulu, Ariffin Deraman (Pas-Alor Limbat) dalam sesi perbahasan semalam meminta pihak kerajaan mengkaji balik serta menutup panggung wayang kerana dikhuatiri akan menyebabkan gejala sosial yang serius berlaku dalam kalangan masyarakat terutamanya belia.

Panggung wayang di PB Sentral itu dikendalikan oleh Lotus Fivestar Cinemas (M) Sdn Bhd bermula 18 Mac lalu menyediakan 11 dewan yang akan dibuka secara berperingkat.

Mohd Jidin (BN-Permaisuri) dalam sesi pergulungan juga berkata, kamera litar tertutup (CCTV) memang sudah dipasang di beberapa kawasan sesuai di sekitar panggung tersebut untuk tujuan keselamatan pengunjung.

"Alor Limbat kata pastikan panggung wayang ni dalam cerah. Nak tengok wayang memang lah kena gelap sebab cahaya skrin pun dah cerah.

"Kerajaan negeri ambil maklum juga bahawa panggung wayang ini tidak akan beroperasi pada hari-hari kebesaran dalam Islam. Ia hanyalah sekadar tempat hiburan untuk seisi keluarga. Biarlah ada sedikit hiburan di Terengganu yang sesuai dalam penerimaan rakyat negeri ini," katanya.

Tambahnya, operasi panggung wayang itu tertakluk kepada peraturan di bawah Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 2002 serta Kaedah-kaedah Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 2003.

Mohd Jidin berkata Majlis Bandaraya Kuala Terengganu hanya mengeluarkan lesen hiburan sebanyak RM9,910 setahun manakala cukai hiburan dikenakan 25 peratus daripada setiap jualan tiket dan menjadi hasil kerajaan negeri (SUK).

Tag: