• 18 Apr 2024 | 9 Syawal 1445

Sidang DUN : TKEA Masih Diberi Perhatian Sebagai Pelan Ekonomi Kerajaan

KUALA TERENGGANU, 15 September - Kerajaan masih lagi merujuk  'Key Economic Area' (TKEA) di bawah Majlis Ekonomi Negeri Terengganu (MEN-T) sebagai pelan ekonomi negeri.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, dalam perkara tersebut beberapa unit dan agensi bertanggungjawab telah mengendalikannya mengikut bidang serta fokus masing-masing.

Katanya, antaranya ialah Invest Terengganu, Jabatan Pelancongan negeri dan Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu (UPEN) mengikut sektor masing-masing.

"Manakala Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) 2030 adalah pelan komprehensif yang merangkumi sektor ekonomi dan sosial sehingga 2030 untuk memandu semua pelan strategik kerajaan negeri.

"Ingin saya tegaskan bahawa mana-mana perkara baik yang dilaksanakan sebelum ini dan perlu kepada penambahbaikan maka kita tambah baik. Oleh kerana itu, mana-mana yang tersenarai dalam tindakan MEN-T sebelum ini kita ambil kira dan sesuaikan dengan pelan rancangan komprehensif yang terkandung dalam PITAS 2030," ujarnya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan lisan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir (BN), Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman ketika Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri ke-14, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata faktor pandemik menyebabkan beberapa pengubahsuaian terhadap PITAS telah dibuat.

"Kerana mengambil kira perkembangan ekonomi yang berlaku akibat wabak Covid-19 ini yang juga sebenarnya menjadi pendekatan kepada banyak negara di dunia yang lain.

"Sebagaimana pakar daripada 'University of Cambridge' melalui penulisan jurnalnya menyebut bahawa kemelesetan global akibat pandemik adalah berpanjangan dan tidak ada negara yang mampu untuk mengelaknya walau dalam apa jua strategi yang diambil," ujarnya lagi.

 


Tag: