• 06 Mei 2024 | 27 Syawal 1445

Silat Bawa Fad Anuar Ke Dunia Filem



Oleh: Adli Mohamad

DUNGUN, 25 September -  Tangkas dan mahir didalam dunia persilatan telah membawa anak jati Al-Muktafi Billah Shah (AMBS), Bukit Besi, Fad Anuar ke dunia lakonan.

Fad Anuar, 30, berkata, dia mula menceburi bidang lakonan pada 2013 dengan muncul sebagai watak tambahan melakukan aksi dan babak persilatan dan terus serius setahun kemudian.

"Dengan melakonkan drama diantaranya 'Dia Anak Jeneral' di samping Fattah Amin, selepas itu muncul di dalam Drama Akasia yang bertajuk 'Lelaki Itu Pemilik Hatiku', serta Sumpah Ibu," ujarnya ketika dihubungi pemberita Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), hari ini.

Apa yang membanggakan, Fad berjaya muncul sebagai salah satu watak utama didalam filem 'Geran' tahun ini.

"Ianya sebuah filem aksi arahan Areel Abu Bakar dimana saya memegang watak sebagai anak bongsu kepada watak ayah yang dilakonkan oleh Namron.

"Dimana saya lari dari rumah bersama geran pusaka dan mula terlibat dengan dunia perlumbaan haram dan pertaruhan, yang dicari oleh kakak dan abang saya yang dilakonkan wataknya oleh Khoharullah Majid bersama Fieyna Tajuddin," ujarnya.

Filem itu menurutnya bakal menemui penonton di seluruh pawagam yang akan memulakan tayangannya pada 10 Oktober.

"Filem ini wajib ditonton oleh anak muda supaya kenal warisan yang perlu dipupuk dari kecil supaya tidak hilang jati diri walau pergi kemana-mana agar terjaga adat ketimuran.

"Cerita ini berkait rapat dengan warisan Melayu, cerita ini juga turut mengisahkan geran pusaka yang perlu dijaga sebagaimana kampung baru agar tidak sesekali tergadai," ujarnya.

Sementara itu, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman menganggap bakat yang dimiliki oleh Fad Anuar adalah semulajadi dan perlu digunakan ke arah kebaikkan.

"Saya mendoakan agar dia (Fad Anuar) berjaya didalam bidang yang diceburinya, dan saya doakan agar tidak hanyut serta pandai memilih watak yang bersesuaian dan membawa mesej dakwah didalam masyarakat.

"Kerana artis ini seringkali dianggap sebagai ikon, jadi perlulah membawa masyarakat ke arah perkara yang positif terutamanya anak muda supaya menjadi generasi yang bermoral mengikut acuan Islam," jelasnya.


Tag: