• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Sistem e-Tanah Bakal Diperluas Ke Terengganu

KUALA LUMPUR, 27 Julai - Kerajaan bercadang memperluaskan Sistem e-Tanah secara kerjasama awam-swasta (PPP), ke beberapa negeri termasuk Terengganu menjelang 2024, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata, peluasan sistem itu akan turut meliputi Putrajaya, Labuan, Selangor, Pahang, Johor, Kedah, Perlis dan Kelantan.

Katanya, ia susulan kejayaan pelaksanaan sistem itu yang diguna pakai Kuala Lumpur serta Perak, masing-masing pada 2017 dan Februari lalu, selepas diperkenalkan pada 2014.

Justeru, beliau berkata, peluasan Sistem e-Tanah diharap akan memberi impak positif bagi meningkatkan lagi produktiviti negara di mata dunia, sekali gus menarik minat pelabur asing untuk menambah pelaburan di Malaysia.

Pelaksanaan Sistem e-Tanah bertujuan menyeragamkan pentadbiran tanah di negeri berdasarkan perundangan yang berkuat kuasa, selain mengurangkan kerenah birokrasi dan mempertingkat ketelusan serta integriti dalam pentadbiran tanah.

"Saya percaya, pelaksanaan Sistem e-Tanah juga dapat menyumbang kepada kepesatan pembangunan negara, di samping meningkatkan hasil kepada kerajaan negeri khususnya.

"Sistem e-Tanah dijangka selesai dibangunkan di semua negeri berkenaan serta boleh diguna pakai keseluruhan dan sepenuhnya, selewat-lewatnya pada 2024.

"Saya difahamkan, Perjanjian Konsesi Sistem e-Tanah bagi Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan akan dimeterai, hari ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Tanah Negara bertema 'Mendepani Cabaran Pasca COVID-19 dalam Pentadbiran Tanah', yang disiarkan RTM1, hari ini.

Perdana Menteri memaklumkan, Sistem e-Tanah berjaya meningkatkan kualiti dan kecekapan pentadbiran tanah, sejak pelaksanaan secara rintis di Kuala Lumpur pada 2017.

Selain itu, katanya, pelbagai urusan berkaitan tanah seperti carian persendirian, pembayaran cukai, permohonan pindah milik serta permohonan gadaian tanah, juga dapat diteruskan dalam talian dengan cekap dan selamat, terutama ketika awal penularan COVID-19 pada tahun lalu.

Sistem berkenaan turut menunjukkan prestasi cemerlang dan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh Kerajaan Perak bagi pelaksanaan urusan pentadbiran tanah, sejak ia mula diguna pakai pada Februari lalu.

Menerusi Laporan 'Ease of Doing Business' dikeluarkan Bank Dunia, beliau berkata, Malaysia berada di kedudukan ke-12 pada 2020 berbanding ke-15 pada 2019.

"Pihak Bank Dunia turut mengiktiraf usaha Malaysia dalam meningkatkan prestasi sektor awam dengan mengeluarkan satu laporan 'Knowledge and Research' pada 2017, 'The Malaysia Development Experience Series' yang bertajuk 'Enhancing Public Sector Performance: Malaysia's Experience with Transforming Land Administration' untuk dikongsi bersama negara lain mengenai kemajuan Malaysia mentransformasikan pentadbiran tanah.

"Malah, Sistem e-Tanah meraih pengiktirafan pada peringkat antarabangsa, iaitu 'Gold Award Public Sector' di ASEAN ICT Award 2018 yang diadakan di Indonesia pada 2018," katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua pihak berkaitan pada peringkat Persekutuan dan negeri, sempena sambutan Hari Tanah Negara tahun ini.

Walaupun diadakan secara dalam talian untuk kali kedua susulan pandemik COVID-19, beliau percaya, ia langsung tidak mengurangkan kepentingan sambutan berkenaan dalam kalangan kakitangan awam mahupun masyarakat.

Katanya, sambutan tahun ini diteruskan dalam situasi yang mencabar serta memerlukan komitmen pada setiap peringkat bagi mengenal pasti pendekatan terbaik menanganinya.

"Saya teruja dengan persidangan kali ini yang akan membabitkan tiga siri webinar, di samping program bual bicara menerusi siaran radio dan televisyen.

"Platform disediakan ini perlu dimanfaatkan sebaik mungkin oleh semua warga pentadbiran tanah untuk mencetuskan pemikiran baharu ke arah memperkemaskan lagi pentadbiran tanah di Malaysia.

"Idea baharu hasil perkongsian pengalaman dan pengetahuan bersama ahli panel, diharap menghasilkan idea bersifat 'beyond ordinary'.

"Walaupun persidangan menghimpunkan warga pentadbiran tanah bersama pelanggan dan pemain industri tidak dapat diadakan seperti kebiasaan, saya percaya bahawa perhimpunan secara maya ini tetap bererti dalam menghargai jasa dan sumbangan semua pihak terbabit dalam perundangan serta pentadbiran tanah," katanya.

-- BERITA HARIAN


Tag: