• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Sistem Pengairan Bantu Tingkat Produktiviti Limau Langkat

DUNGUN, 8 Disember- Jabatan Pertanian Daerah Dungun memperuntukkan kira-kira RM 80,000 secara keseluruhan bagi memasang sistem pengairan bagi meningkatkan produktiviti limau langkat di Kampung Talong.

Penolong Pegawai Pertanian Kanan Pejabat Pertanian Daerah Dungun, Abdul Halim Abdul Ghani berkata, pemasangan paip berkenaan diadakan secara bergotong-royong.

"Projek limau di Kampung Talong ini kita telah bangunkan lebih kurang 8 tahun lalu dengan 19 peserta yang masih aktif daripada 21 peserta pada awalnya. Hasil produktiviti kurang memuaskan kerana tiada sistem pengairan yang baik di kawasan ini, sebelum ini guna cara manual sahaja.

"Sebab itulah kita bangunkan sistem pengairan ini bagi meningkatkan hasil pendapatan petani," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Tapak Projek Kelompok Limau Langkat Kampung Talong, semalam.

Turut hadir, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman dan Ketua Projek Kelompok Limau Langkat Kampung Talong, Mohammad Sulong.

Mohammad berkata, setiap peserta masing-masing mengusahakan 200 pokok limau diatas tanah seluas dua ekar bagi setiap peserta.

"Saya berterima kasih diatas CSR yang telah dilakukan oleh Jabatan Pertanian ini, sebelum ini hasil yang saya perolehi melalui kebun saya ini selama lima bulan mengutip hasil sebanyak lapan tan buah limau. Semoga dengan sistem pengairan ini akan meningkatkan lagi produktiviti," ujarnya.

Sementara itu, Ghazali mengharapkan agar kesemua peserta ini saling bermuafakat untuk memastikan projek ini terus berjaya.

"Sebelum ini saya juga ada menerima aduan mengenai musuh tanaman seperti kera, babi serta gajah. Tetapi kita telah melaporkan perkara ini kepada perhilitan untuk mengambil langkah sewajarnya termasuk memasang sembilan perangkap kera dan babi supaya tidak menganggu tanaman penduduk kampung.

"Sama-samalah kita mendoakan agar usaha peserta ini akan terus maju jaya, dan disini merupakan kawasan tanaman limau langkat terbesar di daerah Dungun," ujar Ghazali.

 


Tag: