• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Sistem Pilihanraya Negara Antara Terbaik Dunia


Dakwaan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengatakan berlaku penipuan dalam sistem pilihanraya negara sebelum ini adalah tidak berasas sama sekali.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek berkata, kenyataan Presiden Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu jelas bertujuan untuk mengelirukan rakyat negara ini.

“Sistem pilihanraya di negara ini adalah antara yang terbaik di dunia dan sekiranya dikatakan berlaku penipuan dalam sistem plilihanraya ini sudah tentu parti pembangkang tidak dapat memenangi kerusi-kerusi termasuk beberapa negeri yang lain masa ini,” katanya.


Katanya, sistem pilihanraya di negara ini membenarkan pemerhati-pemerhati daripada semua parti politik yang bertanding dan itu menjelaskan bahawa ianya adil dan telus.

Menurut Shabery, kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu sangat mendukacitakan  sekali gus bertujuan untuk mengelirukan pemikiran rakyat dengan kenyataan yang tidak berasas.

“Setiap daerah mengundi dan parti yang bertanding ada dibenarkan wakil parti masing-masing dan mereka boleh mengemukakan protes jika merasakannya tidak adil,” katanya selepas Majlis Ramah Mesra Pegawai Seranta Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Pemaju Masyarakat Risda di Resort World Kijal (RWK), Kemaman, semalam.

Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Kemaman merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Dato Seri Ahmad Said, Ketua Pegawai Seranta Risda Malaysia Ton Zalani Mat Darus, Pengarah Bahagian Pengembangan dan Pemindahan Teknologi (BPPT) Ibu Pejabat Risda Amran Jaafar dan Pengarah Risda Negeri Terengganu, Esa Rahimin.

Tag: