• 14 Okt 2024 | 11 Rabiul Akhir 1446

Skim Bantuan Modal Tani Bantu 510 Petani, Penternak dan Nelayan

KUALA NERUS, 1 Februari – Seramai 510 pemain sektor pertanian,penternakan dan perikanan mendapat manfaat Program Skim Bantuan Modal Tani (SBMT) dengan nilaian sebanyak RM 8,967,293.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata program tersebut telah dilaksanakan selama lima tahun bermula 2019 hingga 2023.

Katanya, program yang diperkenalkan oleh Kerajaan negeri itu terdiri dari tiga subsektor iaitu tanaman, ternakan dan perikanan.

“Ia adalah kemudahan pinjaman tanpa faedah kepada mereka yang menceburi bidang pertanian, penternakan dan perikanan di Negeri Terengganu," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Amanat 2024 bertempat di Pejabat Daerah dan Tanah Daerah Kuala Nerus di sini hari ini.

Tambah Dr Azman, Tabung Bencana Pertanian (TBP) juga telah diperkenalkan pada tahun 2020.

Jelasnya lagi, fokus utama TBP adalah projek agromakanan dalam Dasar Agromakanan Negara serta Pelan Strategik Pertanian Negeri Terengganu.

"Peruntukan TBP bagi tahun 2023 sebanyak RM 1 juta setahun dan bermula tahun 2024 sebanyak RM 2 juta daripada Kerajaan Negeri.

"Ia meliputi tanaman padi, sayur-sayuran dan buah-buahan, ternakan, ternakan akuakultur, nelayan dan industri asas tani (IAT)," ujarnya.

 

 


Tag: