• 09 Mei 2024 | 1 Zulkaedah 1445

SMK Bukit Sawa Perintis Pendidikan Pesawat Udara Tanpa Pemandu

KUALA TERENGGANU, 15 Jun - Terengganu Incoporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) memperuntukkan RM45,000 untuk melaksanakan program rintis pendidikan Pesawat Udara Tanpa Pemandu (UAV) dalam negara, melibatkan kerjasama dengan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Sawa.

Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata, pelaburan berkenaan sebagai sokongan untuk merealisasikan 'Kick Off TI-BSaS Aeronautics UAV In Scholl programme' dalam usaha membantu para pelajar mengembangkan kemahiran dalam ekonomi Revolusi Industi Keempat (IR4.0) .

"SMK Bukit Sawa dianggap sebagai perintis untuk program ini  dengan kewujudan kelab  aeronautik sedia ada, Kelab Aeronautik Bukit Sawa (BSAS Aeronautik) yang mendidik pelajar tentang teknologi terkini kemajuan dalam industri penerbangan.

"Program ini dijalankan selama empat tahun (2023-2026), menyasarkan pelajar Tingkatan 1 di SMK Bukit Sawa berikutan wujudnya mata pelajaran baharu dalam silibus akademik mereka; Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) dan Asas Sains Komputer (ASK),"ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program 'Kick-Off TI-BSaS Aeronautics UAV In-School Programme, di Wisma Darul Iman, di sini, semalam. 

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat.

Mengulas lanjut Burhanuddin berkata, pihaknya dimaklumkan seramai tujuh pelajar telah direkrut bagi merealisasikan program tersebut. 

"Antara komponen penting dalam program ini termasuk tunjuk ajar dalam bilik darjah, reka bentuk dan hiasan, latihan penerbangan dan pertandingan.

"Di samping Terengganu Inc, program ini akan turut bekerjasama dengan beberapa pihak yang menyediakan sokongan dalam pelbagai bentuk antaranya Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Kumpulan Penggerak Ibu Bapa Komuniti dan Swasta (KPIBS), Universiti Kuala Lumpur, Institut Teknologi Penerbangan Malaysia dan lain-lain lagi.

"Pihak kami bakal meningkatkan jenama syarikat menerusi tajaan ini, di samping pengiktirafan sebagai penyokong program Hi-Tech STEM yang selaras dengan 'Sustainable Development Goals (SDG) no.4 (Pendidikan Berkualiti) dan no.9 (Industri Inovasi dan Infrastruktur) yang ditetapkan oleh United Nations Development Programme,"ujarnya.