• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

SMK Guntong Terima Insentif Kebitaraan Projek Nanas Terengganu

BESUT, 24 Ogos - Sekolah Menengah Kebangsaan Guntong dari daerah Setiu menerima insentif Projek Kebitaraan daripada Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) Negeri Terengganu atas pelaksanaan program tanaman nanasnya.

Sekolah tersebut bakal menerima bantuan berupa bahan tanaman (sulur) serta input pertanian berupa 1,000 polibeg, peralatan pertanian, media tanaman (Top Soil) dan khidmat nasihat kaedah tanaman secara polibeg.

Selain itu, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Hulu Terengganu serta Balai Bomba dan Penyelamat (BOMBA) Setiu turut menerima bantuan 1,500 polibeg di bawah projek berkenaan dalam gimik penyerahan pada majlis penutup Kursus Teknologi dan Pengurusan Tanaman Nanas dan Agropreneur Muda 2022 di Bukit Keluang Beach Resort, hari ini.

Pengarah LPNM Terengganu, Nor Hidayah Ab Halim berkata, insentif berkenaan adalah program transformasi teknologi bagi melaksanakan program tanaman nanas yang melibatkan komuniti setempat seperti Sekolah/Taman Perumahan/Jabatan/Institusi Awam dan Swasta.

"Kebitaraan ini untuk menggalakkan agensi, sekolah dan lain-lain menanam nanas, bukan secara komersial sebaliknya, bagi tujuan modul pembelajaran, promosi, landskap serta pengenalan kepada umum berkenaan pengurusan tanaman nanas.

"LPNM Terengganu menerima peruntukan sebanyak RM10,000 pada tahun untuk kebitaraan yang mana kita berikan berdasarkan permohonan kelulusan daripada setelah pemantauan dilaksanakan," katanya.

Jelasnya, LPNM juga sentiasa mengadakan kursus dalam usaha mendidik penanam-penanam baru bagi mencapai matlamat melahirkan lebih ramai usahawan nanas.

"Objektif kursus hari ini, kita hendak melahirkan lebih ramai pengusaha dan memberi ilmu kepada penanam nanas, terutama peserta baru yang mendapat kelulusan daripada kita.

"Setakat ini, kita merekodkan sebanyak 300 hektar tanaman nanas di seluruh Terengganu yang mana majoritinya di Setiu.

"Kita dalam proses tambah peserta dan keluasan tanaman dalam sekitar 110 ekar bagi tahun hadapan dalam usaha memenuhi keperluan dan permintaan dalam negeri," katanya.

Tambahnya, setakat ini tidak berlaku lambakan buah nanas dalam Terengganu walaupun ketika berlakunya sekatan sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dahulu.

Dalam kursus yang berlangsung selama tiga hari itu, seramai 60 penanam nanas dari seluruh Terengganu hadir menyertainya.

 

 

 

 

 


Tag: