• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Solat Di Surau Sekolah Dibenarkan

KEMAMAN, 13 September - Aktiviti surau sekolah termasuk solat sudah mula dibenarkan semenjak ianya ditutup setelah negara dilanda wabak Covid-19 dan semua pihak terlibat diarahkan untuk mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan sejak bulan Mac yang lalu.

Pengetua Cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan Geliga, Wan Mohd Salleh Wan Ismail berkata, hari ini semua pelajar di sekolahnya sudah dibenarkan untuk menunaikan solat di surau sekolah berkenaan.

"Sebelum ini kami di sekolah ini mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia untuk tidak membenarkan pelajar-pelajar untuk solat di surau sekolah tetapi sekarang kita mula membuka semula surau ini untuk solat dilaksanakan.

"Namun begitu, kita masih mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara seperti penjarakan fizikal dan lain-lain," ujarnya.

Katanya lagi, beliau berharap pelajar-pelajar di sekolah itu terutama pelajar Tingkatan Lima agar dapat memanjatkan rasa syukur pada Allah apabila telah dibenarkan untuk solat di surau sekolah dan mengambil peluang untuk bermunajat untuk memohon kejayaan di dalam menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini.

"Kita juga mengharapkan semua pelajar di sekolah ini terus cemerlang pada masa akan datang," katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis kesyukuran sempena pembukaan semula aktiviti solat yang diadakan di surau sekolah berkenaan, hari ini.

Beliau yang telah menerima pangkat Pengetua Cemerlang pada tahun 2018 itu turut berterima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat yang telah menaja makan tengah hari dalam majlis tersebut untuk guru-guru, kakitangan sekolah dan pelajar-pelajar Tingkatan Lima melibatkan kesemuanya seramai 250 orang.

Hanafiah Mat yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga & Perpaduan Nasional negeri telah hadir ke sekolah berkenaan bagi menyampaikan sumbangan sebuah projektor untuk kegunaan di dewan sekolah itu, baru-baru ini.


Tag: