KUALA NERUS, 12 Ogos - Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggunakan perkhidmatan helikopter bagi membawa peti undi dari Pulau Redang.
Peti undi tersebut dibawa dari Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Pulau Redang ke pusat pengundian di Institut Pendidikan Guru Kampus Dato Razali Ismail, Batu Rakit sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) hari ini.
Seramai 1,307 pengundi di Pulau Redang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit telah menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat mereka hari ini.
Kenyataan tersebut dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Negeri Terengganu pada hari ini.
DUN Batu Rakit membabitkan pertembungan antara calon Parti Islam Se-malaysia (PAS), Mohd Shafizi Ismail dan Barisan Nasional (BN) yang juga penyandang kerusi, Bazlan Abd Rahman.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, Bazlan meraih kemenangan tipis dengan majoriti 299 undi selepas memperoleh 10,046 undi menewaskan Mohd Shafizi yang mendapat 9,747 undi.
Manakala calon PKR, Amir Long memperoleh 800 undi dan hilang wang deposit.