KUALA TERENGGANU, 22 April – Kerajaan negeri merancang membina bangunan Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) di Rantau Abang menjelang 2030 bagi memenuhi keperluan masyarakat setempat terhadap pendidikan Islam yang berkualiti.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahri Mamat berkata, setakat ini sebanyak 12 SRIDI telah ditubuhkan di seluruh Terengganu.
Daripada jumlah itu, katanya, empat sekolah sudah beroperasi di tapak kekal, manakala lapan lagi masih menggunakan tapak sementara.
“Kerajaan negeri pada masa ini memberi tumpuan kepada usaha untuk menubuhkan SRIDI di tapak kekal termasuk SRIDI Rantau Abang,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Mohd Fadli Rahmi Zulkifli pada Mesyuarat Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 di Wisma Darul Iman, di sini.
Mengulas lanjut, Satiful berkata perancangan pembinaan SRIDI Rantau Abang akan dimulakan tahun ini menerusi penyediaan laporan pelukis pelan serta mendapatkan pandangan daripada jabatan teknikal.
Katanya, proses seterusnya dijadual berlangsung pada 2027, melibatkan Mesyuarat Jawatankuasa Tanah Daerah (JKTD) dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), termasuk urusan perizaban tanah di bawah Seksyen 62, selain penyediaan Pelan Akui dan pewartaan.
Tambah beliau, kerajaan negeri juga telah mengenal pasti tapak cadangan kekal bagi SRIDI Rantau Abang, iaitu di Lot PT 28988 Mukim Kuala Dungun.
Tag :