• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

SRIDI, SMIDI Tawaran Baharu Pendidikan

MARANG, 22 November - Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) dan Sekolah Menengah Islam (SMIDI) merupakan tawaran baharu supaya masyarakat mempunyai pilihan sama ada belajar di sekolah arus perdana atau sekolah kerajaan Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Ustaz Maliaman Kassim berkata  ekolah berteraskan agama yang dibina kerajaan Terengganu itu turut mengajar mata pelajaran Bahasa Kebangsaan, Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab.

"kedua-dua jenis sekolah berkenaan mempunyai keistimewaan tersendiri untuk menjadi pilihan rakyat negeri Terengganu yang berkembang dari peringkat pra sekolah dan akan berlanjutan ke peringkat universiti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Forum Wanita Cakna dan Cintakan Negara bertajuk Anak Muda Sayang Terengganu di Dewan Utama Majlis Daerah Marang di sini semalam.

Turut hadir Pengarah Urus Setia Wanita Terengganu (USWA), Wan Nur Sakinah Din, Timbalan Pengerusi NGO HANEES, Sumayyah Zakaria, Ahli Panel Forum, Dr Hamidah Harun.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil seterusnya berkata anak muda hari ini perlu berdisiplin, pandai membawa diri, cerdik dan tidak lagi bergantung pada ibu dan bapa.

"Siapa yang ada disiplin, pengetahuan, pandai komunikasi, akan berjaya tapi yang tidak tahu apa-apa hanya mengikut arus yang berlaku akhirnya terjebak dengan perkara yang tidak sepatutnya," ujar beliau.

Justeru beliau menasihatkan supaya anak muda hari ini membuang keseronokan bersifat sementara dan belajar bersungguh-sungguh untuk berjaya dalam pelajaran di samping tidak membiarkan agama dihina sesuka hati.


Tag: