• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Status Irfan Bakti Masih Dalam Perundingan




Status bekas pengendali Felda United, Irfan Bakti Abu Salim untuk mengemudi skuad Terengganu musim depan belum muktamad, sehingga perundingan selesai dan kedua-dua pihak mencapai kata sepakat.

Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman berkata, kedatangan Irfan sebagai meneruskan perundingan dan pihaknya akan memastikan perbincangan tersebut membawa manfaat kepada kedua-dua belah pihak samada dari PBSNT serta jurulatih berkenaan.

"Sekarang ini Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) baru bercadang untuk menawarkan Irfan sebagai jurulatih utama tetapi ianya belum muktamad.

"Keputusan untuk jadikan Irfan sebagai ketua jurulatih adalah bergantung kepada hasil perundingan yang akan mula dibuat hari ini,”katanya.

Beliau ditemui pemberita sebelum meneruskan perundingan mengenai khidmatnya itu, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.


Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Dato’ Rozi Mamat.

“Keutamaan sekarang adalah untuk memastikan bahawa pada musim hadapan, prestasi permainan akan lebih cemerlang dan meningkat seperti yang pernah diperolehi sebelum ini.

“Jadi kerana itu kita nak pastikan keputusan yang tepat untuk pembangunan bola sepak di negeri Terengganu,” katanya.

Untuk rekod, sepanjang khidmat Irfan Bakti selama tiga musim sejak 2009 di Terengganu, pasukan tersebut pernah muncul sebagai naib juara Liga Super dan menjuarai piala FA dan naib juara Piala Malaysia pada 2011.

Tag: