• 30 Apr 2024 | 21 Syawal 1445

Status LPT3 : Kerajaan Persekutuan Kurang Efisien

KUALA LUMPUR, 7 Mac - Jawapan Kerajaan Persekutuan di Sidang Parlimen baru-baru ini tentang kemajuan pembinaan Lebuh Raya Pantai Timur 3 (LPT3) menunjukan ia sedang bergerak pada kadar agak perlahan dan kurang efisien.

Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli berkata  untuk rekod, pada tahun lepas iaitu 22 Februari 2023, Kerajaan memaklumkan di dalam Dewan Rakyat bahawa proses RFP (‘request for proposal’) untuk LPT3 akan dimulakan dengan penubuhan pasukan projek sebelum diangkat bagi pertimbangan dan kelulusan Jemaah Menteri.

"Namun demikian, lebih setahun kemudian iaitu semalam, Kerajaan berkata bahawa cadangan projek LPT3 masih dalam penelitian dan dalam proses mendapatkan kelulusan prinsip oleh Jemaah Menteri untuk melaksanakan projek LPT3 secara tender RFP.

"Jawapan Kerajaan menunjukkan status kemajuan projek ini sedang bergerak pada kadar agak perlahan dan kurang efisien," ujarnya. 

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan medianya hari ini mengulas sesi pertanyaan Menteri Besar Terengganu merangkap Ahli Parlimen Kemaman, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkenaan status LPT3.

Untuk rekod, kajian mengenai perkara berkenaan telah pun selesai sejak Ogos 2022. 

Kata Wan Hassan, jawapan Kerajaan Persekutuan menimbulkan tanda tanya tentang kecekapan dan komitmen Kerajaan terhadap projek yang dijangkakan membawa pelbagai manfaat termasuk limpahan ekonomi kepada rakyat di Pantai Timur ini. 

"Bagi soalan tambahan Dr. Ahmad Samsuri tentang model pembiayaan dan model operasi LPT3, Kerajaan menyatakan syarikat pemaju akan membuat pembiayaan pembinaan LPT3 melalui bank.

"Mendapatkan pulangan keuntungan melalui kutipan bayaran tol dan seterusnya akan mengembalikan projek tersebut kepada kerajaan," sambungnya lagi. 

Beliau juga berharap agar pertimbangan Kerajaan berkenaan projek LPT3 ini lebih mengutamakan kepentingan rakyat dan tidak berorientasikan keuntungan semata-mata.

"Saya ingin menegaskan bahawa dalam apa hal sekalipun, kebajikan rakyat Pantai Timur termasuk di negeri Terengganu adalah paling utama. 

"Selesaikan segera permasalahan tentang LPT3 sebagaimana diminta Ahli Parlimen Kemaman dan eratkan kerjasama antara Persekutuan dengan Negeri agar terjaga kesejahteraan dan kemakmuran rakyat khususnya di negeri-negeri Pantai Timur," ujarnya lagi.


Tag: