• 01 Mei 2024 | 22 Syawal 1445

Status Tanam Semula Padi Di Paya Kepian Belum Diputuskan



Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN - Status kegiatan penanaman semula padi di Paya Kepian, Pasir Raja, di sini, masih di peringkat perbincangan sama ada menyerahkan kepada pemilik tanah untuk mengusahakan tanaman itu sendiri atau diserahkan kepada syarikat pemaju yang bertauliah.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, sekiranya tanah itu diserahkan untuk diusahakan kepada pemilik tanah, mereka perlu menunjukkan semangat, minat dan usaha yang bersungguh-sungguh bagi mengusahakan penanaman padi semula berkenaan.

Katanya, dalam Mesyuarat Mingguan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu pernah disebut mengenai Paya Kepian dan diwartakan sebagai kawasan penanaman padi.

"Hasil tinjauan ke kawasan Paya Kepian baru-baru ini, ia ditumbuhi pokok-pokok yang besar selepas terbiar kira-kira 18 tahun.Tidak lagi kelihatan paya atau kawasan yang sesuai bagi penanaman padi.

"Walau bagimanapun ianya boleh diusahakan asalkan peserta menunjukkan minat dan usaha yang tinggi bagi memastikan usaha menghidupkan semula Paya Kepian dengan menanam semula padi dapat direalisasikan.Ianya menuntut usaha yang bersungguh-sungguh penduduk kampung bagi mengusahakan dan memberi sinar kepada penduduk Paya Kepian ini," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada wakil Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) pada perjumpaan kali pertama di antara jabatan dan agensi yang terlibat bersama peserta tanah Paya Kepian, di Rumah Rehat Pasir Raja, di sini, 15 Oktober.



Sehubungan itu, menurut Pegawai Pertanian Daerah Dungun, Nur Shazwani Mohd Salleh untuk memulakan balik penanaman padi ianya memerlukan modal yang agak besar.

"Oleh itu orang kampung sama-sama kena usahakan jangan dibiarkan menjadi hutan lagi (setelah dibersihkan). Kehadiran ramai peserta hari ini telah membuktikan peserta bersemangat, cuma tinggal nak usahakan saja.

"Kolam yang telah dimiliki Ketengah (Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah), tidak boleh dibuat t apa-apa berikutan lapisan tanah telah diceroboh," katanya lagi.

Menurutnya buat masa ini peserta diminta menentukan setiap lot tanah yang dipajakkan untuk diusahakan kelak.



Dalam pada itu, menurut Nur Shazwani lagi, Jabatan Pertanian Negeri serta agensi tertentu tidak boleh membantu sepenuhnya bagi membangunkan semula kawasan itu.

Justeru itu, pihaknya amat berharap peserta bersedia untuk mengeluarkan sedikit modal bagi memastikan projek itu dapat dijana semula.


"Peserta perlu fikir sama ada sepakat nak buat sendiri, atau sepakat untuk serah kepada syarikat swasta yang dilantik oleh kerajaan," katanya.

Tambah beliau lagi, bagi memastikan peserta dapat membuat keputusan yang terbaik secara muafakat satu perjumpaan bersama syarikat pemaju berkenaan akan diadakan pada masa terdekat bagi mendapat maklum balas serta manfaat yang akan dinikmati oleh peserta projek itu.



Tag: