KUALA NERUS, 29 SEPTEMBER- Terengganu Turtles tewas kepada juara bertahan, KL Thunder 2-0 di pentas akhir Grand Prix (GP) Terengganu Emas Anuar Sepak Takraw League (STL) Premier, semalam.
Pada aksi yang berlangsung di Stadium Tertutup Gong Badak itu, Terengganu Turtles tewas 7-15 pada set pertama dan 11-15 di set kedua untuk muncul sebagai naib juara bagi membawa pulang hadiah wang tunai RM8,000.
Pengurus pasukan, Wan Shahrul Nizam Wan Shafi'i bagaimanapun bangga dengan pencapaian tersebut.
"Secara keseluruhannya sasaran kita adalah sehingga peringkat separuh akhir namun, Alhamdulillah kita lolos ke akhir dan ia satu bonus kepada kita apatah lagi beraksi di bumi Terengganu sendiri
"Bagi perlawanan hari ini, kita sudah jangka pasukan yang diturunkan itu, tetapi kita tidak dapat menyesuaikan diri bermain kerana variasi tekong mereka sukar dibaca, kita cuba bangkit pada set kedua dan beri tentangan, Alhamdulillah kita dapat beri tentangan yang baik.
"Ini akan jadi pemangkin untuk pasukan kita menghadapi GP seterusnya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas perlawanan akhir yang menyaksikan kehadiran Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim.
Hadir sama, ialah Naib Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) 1, YM Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ahmad Sharizal Yahaya dan Pengurus Pemasaran Emas Anuar Sdn Bhd, Mohd Jefri Rusli.
Dalam pada itu, Wan Shahrul Nizam optimis dengan perkembangan pasukannya untuk baki sirkit yang akan datang.
"Pencapaian yang lebih baik berbanding di GP Selangor, perlu dibanggakan dan kita perlu bersyukur setelah lima tahun dalam Divisyen Satu, tahun ini merupakan tahun pertama kita menyaksikan pencapaian kita kepada pentas akhir.
"Kita lebih mengetengahkan pemain tempatan kita sendiri yang kebanyakan mereka kita letakkan sasaran tertentu untuk jangka masa dua ke tiga tahun, Khairul Aman, Alif (Mursyid), Afif (Jazimin) itu pemain-pemain aset negeri Terengganu untuk akan datang yang mana dalam dua tiga tahun, kita yakin akan mempunyai skuad yang begitu mampan."
"Saya ambil kesempatan untuk berterima kasih kepada kerajaan negeri khususnya exco sukan kita, YB Hishamuddin yang begitu bersemangat memberi sokongan kepada kami. Kita akan cuba lagi pada GP Perak, Pulaun Pinang dan Johor untuk lolos ke Piala Kejuaraan nanti," katanya.