Berita :
'SU Politik Anwar Sahkan Lebih Separuh Royalti Tak Masuk Akaun Terengganu'
'SU Politik Anwar Sahkan Lebih Separuh Royalti Tak Masuk Akaun Terengganu'
Husaif Mamat
1 jam yang lepas
8

KUALA TERENGGANU, 28 April -  Kenyataan Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berhubung isu royalti petroleum baru-baru ini dilihat mengesahkan isu lebih separuh bayaran royalti negeri itu tidak masuk terus ke akaun kerajaan negeri, benar-benar berlaku. 

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri Terengganu, Dr. Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, kenyataan tersebut secara tidak langsung menokhtahkan perkara pokok yang dibangkitkan kerajaan negeri selama ini.

Katanya, isu sebenar bukan lagi soal mengapa Terengganu terus menuntut royalti, sebaliknya mengapa hak yang sebelum ini boleh disalurkan terus kepada kerajaan negeri kini tidak lagi diserahkan dengan cara sama.

“Ketika pentadbiran Persekutuan di bawah Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, sebahagian besar, malah pada ketika tertentu keseluruhan bayaran royalti disalurkan terus ke akaun kerajaan negeri.

“Maka persoalan sebenar bukanlah mengapa Terengganu menuntut royalti, tetapi mengapa hak yang sebelum ini boleh disalurkan terus kepada kerajaan negeri, kini tidak lagi diserahkan dengan cara yang sama,” katanya dalam kenyataan media.

Muhammad Khalil berkata, kerajaan negeri dipilih secara sah oleh rakyat Terengganu dan mempunyai mandat untuk mengurus hasil negeri, menyusun pembangunan serta melaksanakan kebajikan berdasarkan keperluan rakyat.

Menurutnya, royalti petroleum bukan sedekah, bukan ihsan dan bukan peruntukan yang wajar bergantung kepada pertimbangan politik semasa di Putrajaya.

Tegas beliau, royalti adalah hak negeri yang wajib dilunaskan berdasarkan semangat sebenar Akta Pembangunan Petroleum 1974.

“Apabila hak itu diurus seolah-olah bergantung kepada budi bicara Kerajaan Persekutuan, maka maksud asal royalti telah dikaburkan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus memperjuangkan isu royalti secara berprinsip, berfakta dan melalui saluran yang sah sebagaimana ditegaskan Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Dalam masa sama, Muhammad Khalil berkata Terengganu tidak pernah menjadikan royalti sebagai satu-satunya sandaran ekonomi negeri.

Katanya, selaras dengan titah KDYMM Pemangku Raja Terengganu supaya negeri mempelbagaikan sumber hasil selain petroleum, kerajaan negeri terus memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh hasil baharu dan menarik pelaburan strategik.

Menurutnya, hasil negeri pada tahun 2025 meningkat kepada RM454.69 juta, iaitu angka tertinggi pernah direkodkan Terengganu.

Beliau berkata, Terengganu turut mencatat prestasi pelaburan terbesar dalam sejarah negeri, termasuk dalam sektor pembuatan, tenaga, industri hiliran dan teknologi hijau.

Namun, katanya, kejayaan kerajaan negeri meningkatkan hasil dan menarik pelaburan tidak boleh dijadikan alasan untuk menafikan hak royalti Terengganu.

“Royalti bukan isu politik. Royalti ialah isu amanah, keadilan dan maruah negeri.

“Rakyat Terengganu tidak meminta lebih, hanya menuntut apa yang sememangnya menjadi hak negeri ini,” katanya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan