• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Sukan Jadi Ejen Perpaduan Masyarakat

HULU TERENGGANU, 25 Oktober - Sukan bukan sahaja untuk dilihat dan nikmati, tetapi jauh lebih besar kerana sukan adalah ejen perpaduan yang akan menyatukan masyarakat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim berkata, sukan perlu dimartabatkan oleh semua pihak sekali gus merapatkan hubungan sesama kaum dan dapat menghapuskan tembok politik perkauman dan agama.

"Sukan bukan sahaja untuk kita lihat dan nikmati, tetapi jauh lebih besar kerana sukan adalah ejen perpaduan yang akan menyatukan kita dan rakyat perlu bangga dengan ini. Melalui program sukan ini juga, ia akan dapat menjadi platform kepada penduduk untuk berkumpul dan bersatu dalam menjayakan program yang dirancang.

“Sukan jelas menjadi wadah yang dapat mengintegrasikan masyarakat di daerah ini. Apabila bersukan atau beriadah, tiada siapa pun yang akan memikirkan mengenai politik atau warna kulit, sebaliknya mereka hanya memikirkan cara terbaik untuk bermain dalam satu kumpulan.
 

 “Program sukan seperti karnival sukan perlu diteruskan kerana ini merupakan kunci utama untuk memenangi hati masyarakat. Sukan juga merupakan platform penting dalam menggalakkan penyertaan belia dalam kemasyarakatan dan yang lebih penting dapat mengeratkan lagi silaturahim di antara semua lapisan masyarakat,"katanya ketika merasmikan penutupan Explorace anjuran MBFM Felda mengkawang, di Dataran Felda Mengkawang semalam.

Tambah beliau lagi, generasi muda dan belia digesa supaya berusaha mengelak diri daripada terlibat dengan sebarang gejala tidak sihat kerana tiada sebarang kebaikan yang bakal mereka perolehi, tetapi apa yang nyata ialah mereka menghancurkan masa depan diri dan memusnahkan harapan bangsa dan negara.

“Penglibatan golongan belia dalam aktiviti bersukan dapat mengelakkan mereka terlibat dari sebarang gejala yang tidak sihat.Menerusi aktiviti sebegini juga kita dapat berkumpul dan beramah mesra antara satu sama lain.

“Perbezaan politik dan fahaman dapat dikurangkan apabila masyarakat sesuatu tempat itu menyertai aktiviti aktiviti begini dan sekaligus akan memberi kesan yang baik dalam memupuk kehidupan yang lebih baik dalam masyarakat,”ujar Maliaman.