• 07 Mei 2024 | 28 Syawal 1445

SUKMA 2018 : Aisyah Kutip Emas Pertama Terengganu



Oleh : Aida Abd Rahman dan Mastura Jamal Din

IPOH - Sukan berbasikal yang disasarkan sebagai lubuk emas, menyumbang kilauan pingat itu yang pertama untuk Terengganu menerusi Nur Aisyah Mohamamad Zubir sempena temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-19 Perak 2018, pada hari kedua, hari ini.

Pada acara final di Arena Square, Batu Kurau, di sini, Nur Aisyah, 21, menepati sasaran bagi kategori berbasikal wanita 30 kilometer (km) individu wanita, menewaskan pencabar terdekatnya, Nurul Najihah Inani A. Aziz juga dari Terengganu yang meraih pingat perak.

Pingat gangsa pula berjaya dimenangi Yeong Zhen Yi dari Wilayah Persekutuan.


Selain Aisyah, emas kedua berbasikal turut disumbangkan Mohamad Nur Aiman Mohd Zariff menerusi acara 40 km individu lelaki dan perak kedua Terengganu pula dihasilkan Muhammad Shaiful Adlan Mohd Shukri bagi kategori yang sama.

Sehingga petang ini, acara berbasikal menghadiahkan dua emas dan dua perak buat kontinjen Terengganu sekali gus melonjak carta untuk berada di kedudukan kedua teratas.


Untuk rekod, sukan berbasikal menjadi taruhan terbaik kontinjen Terengganu untuk menuai emas dalam misi memburu juara keseluruhan Sukan Malaysia (SUKMA) edisi ke-19, di Perak yang bakal bermula hari ini.

Sembilan kilauan pingat emas dalam acara berbasikal menjadi sandaran buat kontinjen Terengganu kali ini.

Ketika SUKMA edisi ke-18 di Sarawak pada 2016, skuad berbasikal Terengganu meraih 14 pingat emas dan menjadi penyumbang emas terbesar buat kontinjen negeri.

Pada SUKMA 2014 di Perlis, sukan kanu menjadi lubuk emas buat Terengganu apabila menggondol 14 pingat, manakala di Kuala Lumpur pada 2013, kita berjaya meraih 12 pingat emas.

Sukan boling padang, sepak takraw, petanque dan tinju juga menjadi sasaran MSNT mengutip dua pingat emas, manakala gimnastik, hoki, golf, muay thai serta ibu segala pingat iaitu bola sepak masing-masing menjadi sandaran untuk menambah satu lagi pingat emas.

Terengganu yang muncul juara keseluruhan empat kali berturut-turut SUKMA bermula 2008, 2010, 2011 dan 2012 menyasarkan kutipan keseluruhan 53 pingat emas, 32 perak dan 50 gangsa dalam temasya di Perak kali ini.

Tag: