• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

SUKMA 2018 : Bidikan Emas Qamarul Pecah Rekod

Muhamad Qamarul Naim Abu Aziz berjaya membidik pingat emas dan sekali gus mencipta rekod baharu temasya Sukan Malaysia (SUKMA)ke-19 Perak.

IPOH - Bersaing sebagai penembak bukan pilihan dan tidak meletakkan sebarang sasaran pingat, tidak menggugat Muhamad Qamarul Naim Abu Aziz untuk mencipta magis tersendiri apabila bidikannya mencipta pingat emas untuk Terengganu, hari ini.

Qamarul mengumpul 541 mata menerusi acara 50 meter (m) pistol individu lelaki mengatasi pencabar terdekatnya dari Perak yang meraih pingat perak dengan ketinggalan 11 mata.

Atlet berusia 21 tahun itu juga mencipta rekod baharu temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-19 Perak selepas memadam rekod atlet dari Negeri Sembilan yang mengumpul 540 mata, di SUKMA Perlis  2014.

Qamarul berkata, dia tidak pernah menyangka akan memenangi emas kerana hanya mengharapkan gangsa dan keputusan di luar jangkaan semua itu sebagai bonus kepada Terengganu.

"Saya tahu acara saya tidak diletakkan sebagai sasaran pingat tetapi itu yang membakar semangat untuk diri membuktikan kepada ramai yang saya mampu menjadi antara yang terbaik.

"Saya cuma berharap mendapat salah satu pingat sahaja dan tidak menjangka turut memecah rekod kejohanan sebelum ini," ujarnya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Menurut atlet itu lagi, beliau sebelum ini pernah menyertai acara 50m Free Pistol berpasukan di SUKMA 2016 Sarawak dengan membawa pulang pingat gangsa.

Katanya, penyertaan di SUKMA Perak merupakan kali ketiga dan terakhir kerana usia telah mencapai had umur yang ditetapkan oleh peraturan penyertaan.

Bercerita lanjut penglibatan dalam acara itu, anak kelahiran Kampung Tok Jiring, Kuala Terengganu itu mula meminati menembak ketika di Tingkatan Tiga apabila rakan-rakannya memujuknya untuk bersama mencuba sukan yang berbeza dari kebiasaan dan lebih mencabar.

"Bila kawan ajak, saya pun terus mencuba dan akhirnya menjadi sukan kegemaran tetapi tidak pernah menjangka akan pergi sejauh ini,"ujarnya lagi.

Beliau juga mahu mendedikasikan pingat emas itu sebagai hadiah istimewa buat ayah dan ibunya yang tidak pernah jemu memberi sokongan malah menjadi sumber inspirasi utama pencapaiannya.

Tag: