• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

SUKMA 2018: Bola Sepak Langkah Kanan

Pemain Terengganu yang beraksi menentang Perlis.


IPOH- Ketiadaan tiga tonggak yang digantung tiga perlawanan nyata tidak menjejaskan pasukan Terengganu apabila berjaya menewaskan Perlis 1-2 dalam saingan suku akhir, dalam persaingan di Stadium TLDM Lumut, malam tadi.

Sebelum ini, Mohammad Rahmat Makasuf, Shafawi Mohamad dan Muhamad Fakhrul Wahid digantung tiga perlawanan selepas didapati bersalah berkelakuan ganas dalam aksi menentang Johor, pada Isnin lalu.

Pengurus pasukan, Mohd Khoderi A. Rahman berkata, meskipun ketiadaan trio berkenaan sedikit terkesan kepada pasukan, tetapi ia tidak mendatangkan masalah dan menjejaskan persembahan sepenuhnya.

"Kita percaya, pemain yang dibawa ke kejohanan ini adalah yang terbaik dan mampu memikul tanggungjawab diberikan.

"Setiap pemain memberikan aksi terbaik dan kami sentiasa memastikan pemain dapat mengawal emosi dan berjuang sehingga wisel akhir," katanya.

Pasukan Terengganu mengesahkan laluan ke separuh akhir malam tadi, dengan dua gol dijaringkan oleh Wan Mohammad Fadhi Wan Ghazali dan Muhammad Ridzuan Mohd Ghazali.

Laluan Terengganu semakin cerah untuk mencapai sasaran emas pada temasya kali ini sekali gus menebus kekecewaan pada SUKMA 2016 Sarawak yang pulang tanpa kilauan pingat.

Tag: