• 09 Mei 2024 | 1 Zulkaedah 1445

SUKMA 2018: Kibaran Bendera Terengganu Penguat Semangat Raih Emas- Darul Najmi




Darul Najmi meraih emas dalam  acara 69 kg Clean & Jerk 

Oleh: Mohd Irsyadi Abu Bakar 

TAPAH: Kibaran bendera Terengganu dan tepukan daripada rakan seperjuangan sewaktu berlangsungnya  acara 69 kilogram (kg) Clean & Jerk sempena Sukan Malaysia (SUKMA) ke-19  Perak semalam menjadi penguat semangat bagi atlet angkat berat, Muhamad Darul Najmi Dollah, 21 meraih pingat emas dalam acara itu.

Lebih menarik kutipan emas ketiga bagi  pasukan Terengganu itu berjaya memadam rekod kejohanan SUKMA di Perlis empat tahun lalu yang dipegang bekas atlet kebangsaan, Mohd Hafifi Mansor .

Darul Najmi, berkata dia bagaikan bermimpi mampu meraih pingat emas hasil angkatan bebanan seberat 164 kg kerana  pada sesi latihan kemampuan angkatannya tidak melebihi 155 kg.

“Saya sememangnya berharap kutipan pingat dalam acara ini, sekurang-kurangnya  pingat gangsa sebagai hadiah buat Terengganu, tetapi apa yang diperoleh saya adalah emas, bertambah gembira mampu pecah rekod kejohanan.

“Kejayaan itu cukup bermakna buat diri saya  kerana belum pernah mengenggam sebarang pingat  dalam kejohanan  sama yang disertai sebanyak tiga kali sebelum ini,” katanya ketika dihubungi Teganukita pagi ini.

Menurutnya, kejayaan yang diraih itu adalah kejayaan bersama, hasil sokongan dan dorongan semua pihak, terutama sekali doa ibu dan ayah serta jurulatih Zulkifli Joseph yang tidak pernah putus memberi  suntikan semangat.

“Saya mula timbul minat menceburi sukan angkat berat sejak di bangku sekolah rendah, kemampuan semakin terserlah apabila ke Sekolah  Menengah  Kebangsaan Sultan Ismail, Kelantan sehingga terpilih mewakili  SUKMA di Sarawak pada 2012.



 “Pendorong saya ketika itu adalah abang sulung, Muhamad Fadli Dollah yang juga seorang atlet angkat berat dan kini bertugas sebagai Pembantu Jurulatih SUKMA Terengganu,”katanya.

Dalam pada itu, pengurus pasukan, Muhammad Hilmi Haris berkata, kejayaan itu memberikan semangat buat kontinjen Terengganu secara umumnya.

"Oleh kerana SUKMA Perak ini adalah yang terakhir buat Darul, beliau tidak melepaskan peluang untuk mencatatkan sejarah buat dirinya.

"Alhamdulillah, Darul meraih pingat dan rekod yang istimewa buat diri dan kariernya dalam sukan angkat berat," katanya.


Tag: