• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

SUKMA 2018: Rejaman Emas Ceriakan Skuad Terengganu

Pasukan sepak takraw Terengganu.
ULU KINTA - Pasukan sepak takraw lelaki menghadiahkan pingat emas buat Terengganu setelah terpaksa berhempas-pulas sebelum menumpaskan Pulau Pinang dalam perlawanan akhir yang berkesudahan 2-1 di Institut Latihan Kesihatan Sultan Azlan Shah, di sini, petang tadi.

Pengurus pasukan, Muhammad Alauddin Wahab berkata, kekuatan dan keyakinan mental pemain berjaya mengikat pasukan lawan untuk mengheret perlawanan ke penentuan mata regu ketiga.

"Perlawanan agak sengit namun syukur kita berjaya memenangi perlawanan tersebut," katanya.

Mohd Futra.

Dalam pada itu, ketua jurulatih, Mohd Futra Abd Ghani mengakui perlawanan regu ketiga yang diheret ke 'tie break' berlangsung dalam debaran.

"Tetapi saya percaya kepada pemain-pemain saya bahawa mereka akan mengatasi pihak lawan hasil fokus dan bijak mencuri peluang.

" Rasa bimbang itu ada cuma syukur pemain mendapat semangat mengejar dari ketinggalan untuk memenangi perlawanan," katanya.

Futra yang merupakan bekas pemain sepak takraw negara menyatakan sasaran pingat buat skuad Terengganu juga akan cuba dicapai dalam acara regu dan 'double' yang akan dipertandingkan esok.

Pada SUKMA edisi ke-16 di Sarawak lalu, pasukan sepak takraw berjaya menyumbang dua emas melalui acara berpasukan dan 'double' serta satu perak melalui acara regu.




Tag: