• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

SUKMA 2018: Teck Siang Cipta Kejutan

Wee Teck Siang 

GOPENG - Skuad Wushu menuai emas keenam buat kontinjen Terengganu menerusi Wee Teck Siang yang mengungguli acara sanda kategori 60 kilogram (kg) lelaki di Kolej Matrikulasi Perak, di sini, sebentar tadi.

Teck Siang,18, dari Kuala Besut berkata ini merupakan penyertaan kali pertama dalam Sukan Malaysia (SUKMA) dan tidak mengharapkan kemenangan kerana kebanyakan peserta mempunyai pengalaman dalam acara seni mempertahankan diri itu.

"Saya tak menjangka akan mendapat pingat emas kerana pada awalnya hanya mensasarkan pingat gangsa apatah lagi persaingan hebat dari awal dengan peserta Johor.

"Mula rasa takut dapat masuk final tetapi dengan kehadiran mak dan ayah serta penyokong dari Terengganu, saya mendapat kekuatan untuk buktikan saya boleh dan seterusnya menghadiahkan emas keenam untuk Terengganu yang juga emas pertama dari wushu setakat ini,"katanya.

Teck Siang bersama sumber inspirasinya, ibu bapa dan adik yang sentiasa menemaninya.


Anak kelima dari enam beradik itu berjaya mengalahkan lawan, Tan Xian Jun dari Selangor melalui tendangan knockout (KO) dan seterusnya melayakkan beliau memenangi acara tersebut.

Tambahnya, sejak mula menceburi sukan Wushu pada Mac lalu, beliau tidak pernah menyesali apabila terpaksa menolak tawaran melanjutkan pelajaran ke Politeknik  Muadzam Shah dalam bidang reka bentuk grafik kerana mahu memberi tumpuan dalam sukan itu.

"Saya tolak tawaran ini kerana jiwa saya lebih kepada sukan Wushu dan tidak pernah menyesal dengan keputusan ini lebih-lebih lagi keluarga memberikan sokongan penuh,"ujarnya lagi.

Tenyata keputusan yang dibuat menyebelahinya apabila berjaya memenangi pingat emas pertama kali dalam Borneo Amature Challenge di Labuan pada Julai baru-baru ini.

Ibunya, Lim Lee Boey, 53, ketika ditemui berkata dia dan suaminya
Wee Chong Aik, 55, tidak pernah menghalang minat dan mempertikaikan keputusan dipilih oleh Teck Siang.

"Saya tetap menyokong dan kami membuktikan sokongan padu kami dengan hadir memberikan sokongan dan kata semangat setiap kali dia menyertai perlawanan supaya dia tahu yang doa kami sentiasa mengiringinya untuk capai kejayaan,"katanya.


Tag: