• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

SUKMA 2018 : Terengganu Bakal Cipta Sejarah



Foto : Syaiful Mustaffa

KUALA TERENGGANU - Atlet Terengganu yang bakal beraksi pada Sukan Malaysia (SUKMA) Perak tidak lama lagi, ditagih menunjukkan semangat juang yang tinggi supaya mampu mencipta sejarah yang tersendiri bukan hanya untuk diri masing-masing, malah untuk kontinjen dan juga Terengganu khasnya.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan, Belia Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, atlet perlu mempersiapkan diri dan emosi supaya mampu memahat rekod peribadi yang pastinya menjadi kebanggaan kepada keluarga, negeri dan juga negara.

“Kita bersukan dengan bersungguh-sungguh, berusaha dengan semaksima mungkin dan jangan lupa antara tujuan dan matlamat kita bersukan bukan sahaja untuk menang.


 “Tetapi bersukan juga untuk melahirkan semangat kesukanan, semangat bantu membantu, semangat tolong menolong dan berusaha untuk mendapat kejayaan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam berkata demikian dalam sidang media sempena Majlis Kunjung Hormat Penganjuran SUKMA Edisi Ke-19 Perak 2018 di Dewan Jamuan Tingkat 18, Wisma Darul Iman, di sini, kelmarin (30 Ogos).

Wan Sukairi berkata, Terengganu akan menghantar seramai 555 atlet dan 199 pegawai serta jurulatih ke SUKMA Perak pada 12 hingga 22 September  2018 yang akan menyertai 29 jenis sukan di temasya itu nanti.

Sehubungan dengan itu, pada 5 September ini, satu kem akan diadakan untuk atlet bagi menekankan aspek disiplin dan peraturan sepanjang temasya  sukan negara terbesar itu.

“Aspek disiplin (adalah) suatu perkara yang sangat penting  dan untuk itu kita akan beri penekanan kepada atlet dalam program selama 10 hari tersebut. Insya Allah kita yakin atlet kita mematuhi  segala peraturan yang ditetapkan oleh pegawai dan jurulatih kerana ia menjadi asas kejayaan,” ujarnya.



Menurutnya, disiplin adalah perkara yang sangat penting  dalam setiap atlet dan mereka tidak boleh mengabaikannya semata-mata untuk mengejar kejayaan.



Tag: