• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

SUKMA 2018 : Terengganu Lepasi Sasaran


IPOH - Terengganu memulakan persaingan Sukan Malaysia (SUKMA) edisi ke-19 Perak dengan momentum terbaik apabila melepasi sasaran pencapaian pingat pada hari kedua temasya, semalam.

Kontinjen yang diketuai Samiun Salleh memperolehi lima emas, tiga perak dan tiga gangsa berbanding sasaran awal empat emas dan tujuh gangsa.

Kelebihan 'bonus' satu emas itu diraih menerusi atlet judo yang membolot  tiga emas, selain turut menghadiahkan satu perak dan tiga gangsa untuk kontinjen Terengganu mengukuhkan penguasaan di persada pungutan pingat.


Menurut samiun, Terengganu berjaya melepasi sasaran pingat untuk hari kedua (semalam) dan ini satu permulaan yang baik untuk temasya kali ini.

"Kita berjaya kutip lima emas dengan tiga terhasil daripada judo, dua lagi berbasikal.

"Acara judo kita sasarkan mengutip dua emas pada hari ini, bagaimanapun kelebihan tiga emas pada kali ini memberi petunjuk baik untuk kita merampas semula kejuaraan SUKMA edisi ini,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada Urusetia Penerangan Darul Iman selepas mesyuarat khas bersama pegawai sukan kontinjen Terengganu, di Hotel Seri Malaysia, di sini, malam tadi.

Tambah Samiun, pada hari ini juga terdapat tiga acara sasaran, iaitu wushu, judo dan berbasikal yang melangkah ke peringkat akhir dan dijangka dapat menambah pingat emas untuk Terengganu.

"Kelebihan kita mendapat pingat pada acara yang bukan sasaran akan menyuntik moral atlet untuk membuktikan mampu melepasi sasaran sebenar.

"Pada masa yang sama saya mahu semua pengurus sentiasa menjaga keselamatan dan kesihatan atlet agar dapat bersaing tanpa sebarang masalah yang menjejaskan fokus di gelanggang,"kata beliau lagi.

Tag: