• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

SUKMA 2018: Tiada Kes Beguk Di Kalangan Atlet Terengganu

Samiun Salleh bersama atlet berbasikal kriterium yang  berjaya menuai emas buat Terengganu

TAIPING - Tiada penularan jangkitan dan simptom virus beguk di kalangan Kontinjen Terengganu di Sukan Malaysia (SUKMA) ke-19 Perak, sepanjang berlangsungnya temasya, sehingga kini.

Ketua Kontinjen, Samiun Salleh berkata, pihaknya serius membendung jangkitan virus berkenaan daripada menular, termasuk mengambil langkah tambahan bagi memastikan atlet Terengganu selamat.

"Kaum keluarga atlet tidak perlu panik berikutan pemantauan dan pemeriksaan berterusan dijalankan bagi tujuan itu dan semua pengurus pasukan sentiasa dalam keadaan bersiap sedia menghadapi pelbagai kemungkinan.

"Langkah paling utama, kita beri  perhatian yang lebih dalam hal penjagaan kesihatan atlet ini terutama bab kebersihan, pemakanan dan sebagainya untuk pastikan tiada jangkitan berlaku,” katanya ketika ditemui sejurus penyampaian pemenang bagi acara berbasikal kriterium, di Dataran Majlis Perbandaran Taiping, di sini, hari ini.

Tambah Samiun lagi, kawalan terhadap pergerakan atlet sepanjang berada di SUKMA turut diperketatkan supaya mereka tidak terdedah dengan virus berkenaan.

Antara simptom penyakit beguk ialah demam, sakit kepala, sakit otot, hilang selera, bengkak dan sakit di kelenjar air liur.

Sehubungan itu, atlet atau orang ramai yang ada simptom penyakit terbabit dinasihatkan berjumpa doktor bagi pemeriksaan lanjut.

Sebelum in, pasukan boling padang wanita Negeri Sembilan menjadi pasukan kedua menarik diri daripada Sukan Malaysia (Sukma) ke-19 akibat jangkitan virus beguk selepas pasukan futsal wanita dan lelaki Sabah berbuat demikian, awal minggu ini.


Tag: