lightning-solid
Berita :
SUKMA 2026: Bola Sepak Mulakan Misi Emas Dengan Langkah Kanan
SUKMA 2026: Bola Sepak Mulakan Misi Emas Dengan Langkah Kanan
Nik Muhammad Ziyad Nik Abdul Ghafar
2 jam yang lepas
67

BANGI, 13 Ogos— Pasukan bola sepak Sukan Malaysia (SUKMA) Terengganu memulakan saingan Kumpulan A dengan langkah kanan selepas mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas Sabah pada perlawanan pembukaan yang berlangsung di Stadium UKM, Bangi, pada Selasa.

Gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh pemain tengah Terengganu, Arman Dhani, seawal minit ke-11 sekali gus menghadiahkan tiga mata penuh berharga buat skuad Penyu.

Aksi berkenaan turut disaksikan oleh Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir, yang hadir memberikan sokongan moral sejurus selesai sesi sidang Parlimen.

Beliau yang juga berperanan sebagai bapa angkat kepada kontinjen bola sepak SUKMA Terengganu menyifatkan kejayaan awal ini sebagai penyuntik semangat terbaik buat para pemain dalam usaha memburu pingat emas.

"Alhamdulillah, kita berjaya mencatat kemenangan dalam perlawanan pertama ini. Kemenangan yang cukup penting sebagai pencetus semangat dan motivasi untuk menghadapi perlawanan seterusnya. Misi emas baru bermula," katanya.

Beliau turut menyeru seluruh penyokong Terengganu agar terus memberikan sokongan dan doa buat pasukan sepanjang saingan temasya ini.

Terengganu dijadualkan turun bagi aksi kedua Kumpulan A menentang Sarawak pada 15 Ogos ini dalam usaha mengukuhkan kedudukan untuk mengesahkan tempat ke peringkat seterusnya.


Tag :

Artikel Berkaitan