KAJANG, 17 Ogos- Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga jurulatih Sofbol Terengganu, Allahyarham Wan Mohd Shymin Amirul Wan Mohd Sofli yang meninggal dunia pagi ini.
"Saya mengambil kesempatan pada pagi ini bagi pihak Kerajaan Negeri Terengganu untuk mengucapkan takziah kepada ahli keluarga jurulatih Softbol Negeri Terengganu yang telah pulang ke rahmatullah pada pagi ini atas masalah kesihatan, dalam keadaan beliau sedang berkhidmat untuk pasukan Sukma dari Negeri Terengganu, iaitu pasukan softbol.
"Kita doakan supaya roh almarhum dirahmati dan diberkati oleh Allah SWT begitu juga kepada anggota keluarga supaya bersabar dengan ujian ini," katanya ketika ditemui selepas menghadiri sukan angkat berat di sini, hari ini.
Dalam acara tersebut, kontinjen Terengganu berjaya meraih pingat perak menerusi Ahmad Wazif Zafran Mohd Zaki Yamani dalam kategori 65kg Lelaki yang berakhir sebentar tadi.
Setakat pagi ini, kontinjen Terengganu telah mengumpul sebanyak 35 pingat dengan 11 Emas, 18 Perak dan 6 Gangsa.