• 20 Mei 2024 | 12 Zulkaedah 1445

SUKMA Terengganu Sasar Raih 75 Emas

KUALA TERENGGANU, 8 Mei- Kontinjen SUKMA Terengganu 2024 menyasarkan untuk memungut 75 pingat emas sekali gus merebut kembali kejuaraan SUKMA edisi ke-21, kali ini.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sasaran yang diletakkan melebihi pencapaian terbaik tahun lalu dengan pungutan 64 Emas.

"Cita-cita kita besar, untuk merampas kejuaraan yang pernah dimiliki Terengganu pada 2018.

"Semua tahu di mana kekuatan negeri Terengganu dan kita ada juga sukan-sukan baru yang kita akan cuba dapatkan pingat Emas.

"(Sukan) pelayaran, basikal, malah olahraga juga tidak kurang pada kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Kontinjen SUKMA Terengganu 100 Hari Menjelang SUKMA XXI Sarawak di Wisma Darul Iman, hari ini.

Dalam majlis tersebut, Dr. Samsuri diiringi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Hishamuddin Abdul Karim juga menyempurnakan penyampaian Watikah Pelantikan Bapa Angkat dan Jabatan Angkat kepada Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), ahli parlimen serta ketua-ketua jabatan.

Penganjuran SUKMA Sarawak 2024 pada Ogos nanti menawarkan 488 acara daripada 37 jenis sukan yang dipertandingkan.

Kontinjen Terengganu akan bersaing dalam 36 jenis sukan kecuali sukan bola keranjang.


Tag: