• 20 Mei 2024 | 12 Zulkaedah 1445

Sultan Mizan Berkenan Nikmati Santapan Bersama Warga Istimewa, Fakir Miskin

KUALA TERENGGANU, 9 Mei- Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke majlis santapan bersama warga istimewa dan fakir miskin sempena sambutan ulang tahun ke-62 hari keputeraan baginda di Istana Syarqiyyah, di sini, hari ini.

Keberangkatan baginda diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah serta Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin dan paduka anakanda, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Daulath Raja.

Hadir sama Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim. 

Pada majlis tersebut, baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan wang tunai kepada 400 penerima.

Penerima melibatkan 100 asnaf fakir miskin yang berdaftar di bawah Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), 200 Orang Kelainan Upaya (OKU) bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat dan 100 golongan ibu tunggal bawah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu.