• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Sultan Mizan Mahu Masjid Berperanan Sebagai Pusat Komuniti

MARANG, 7 Oktober - Sultan Terengganu, Sultan  Mizan Zainal Abidin menyeru semua masjid memainkan peranan sebagai pusat komuniti dengan mendekati semua lapisan masyarakat dan cakna terhadap perkembangan teknologi masa kini.

Titah Baginda, Masjid juga hendaklah berperanan dengan baik dalam menyampaikan mesej kebaikan kepada masyarakat di samping menjadi tempat ibadah dan pusat penyebaran ilmu.

"Peranan Masjid juga perlu dikembangkan selaras dengan perkembangan semasa. Alat-alat komunikasi moden masa kini perlu dimanfaatkan sebaik yang mungkin. 

"Strategi dakwah juga haruslah dirangka dengan baik dan berkesan agar peranan Masjid dalam memupuk nilai-nilai takwa kepada masyarakat benar-benar terlaksana dengan jayanya," titah Baginda.

Baginda bertitah demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Masjid Kubang Ikan di Kampung Chendering di sini semalam.

Baginda juga berkenan menukar nama Masjid Kubang Ikan kepada Masjid Tengku Besar Terengganu pada majlis berkenaan.

Sultan Mizan turut mengingatkan Pengurusan Masjid supaya berperanan sepertimana zaman Nabi
Muhammad SAW dengan melaksanakan pelbagai kegiatan ilmu, aktiviti kemasyarakatan dan kemanusiaan yang berjaya
mengangkat martabat ummah.

"Usaha yang bersepadu bagi mempromosi dan menyemarakkan program-program di masjid perlu diperkasakan dengan pelbagai cara agar ianya sampai ke setiap lapisan masyarakat.

"Beta amat mengharapkan setiap program yang dilaksanakan haruslah dapat mencapai matlamat
ketakwaan dan memupuk semangat perpaduan di kalangan masyarakat agar ummat Islam bersatu padu dalam meninggikan syiar Islam di negeri yang kita cintai ini," titah Baginda.