Sultan Mizan Rasmi Buku Permata Negeri Terengganu: Setiu Wetlands

KUALA TERENGGANU, 10 Februari - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli merasmikan buku mewah bertajuk 'Permata Negeri Terengganu: Setiu Wetlands' yang diterbitkan oleh WWF-Malaysia dan CIMB Islamic Bank Berhad (CIMB Islamic).

Keberangkatan baginda turut diiringi Sultanah Nur Zahirah serta anakanda-anakanda Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail dan Tengku Puteri Utama Raja, Tengku Nadhirah Zahrah.

Turut berangkat, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz merangkap Presiden WWF-Malaysia.

Buku mewah tersebut menonjolkan keunikan dan keindahan Setiu Wetlands dengan memuatkan koleksi gambar serta fakta menarik hasil daripada kajian dan kerja lapangan serta interaksi bersama masyarakat tempatan. 

Karya itu dihasilkan untuk meningkatkan kesedaran tentang keistimewaan alam semula jadi di Setiu Wetlands serta kepentingan usaha pemuliharaannya.

Presiden WWF-Malaysia, Tunku Ali Redhauddin, berkata penerbitan buku mewah itu langkah penting dalam memupuk kesedaran tentang Setiu Wetlands sebagai permata semula jadi yang harus terus dipelihara demi kelestarian generasi kini dan masa depan.

"Buku mewah ini juga adalah simbol penghargaan kepada masyarakat tempatan Setiu Wetlands, yang
selama ini menjadi tunjang kepada usaha pemuliharaan WWF-Malaysia," ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic, Ahmad Shahriman Mohd Shariff berkata buku mewah itu juga melambangkan pencapaian usaha sama antara CIMB Islamic dan WWF-Malaysia dalam memulihara Setiu Wetlands sejak tahun 2019 lagi. 

"Kerjasama ini telah memainkan peranan penting dalam perkukuh perlindungan dan pengurusan Setiu Wetlands serta pemerkasaan komuniti tempatan.

"CIMB Islamic sentiasa komited untuk menyepadukan pemuliharaan alam sekitar ke dalam penyelesaian kewangan, seperti yang ditunjukkan melalui sokongan kami dalam usaha pemuliharaan biodiversiti dan pemulihan ekosistem di Setiu Wetlands.

"Ia didorong oleh keunikan dan peranan kritikalnya bagi kehidupan masyarakat tempatan," katanya lagi.

Tambah beliau, berpandukan prinsip Pengantaraan Berasaskan Nilai (VBI), pihaknya memastikan produk dan perkhidmatan mereka mencipta impak positif dan mampan kepada komuniti tempatan serta alam sekitar.

 


Tag: