• 06 Okt 2024 | 03 Rabiul Akhir 1446

Sultan Mizan Titah Terengganu Jadi Peneraju Pembangunan Tenaga Hijau

KUALA TERENGGANU, 29 April - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah supaya kerajaan negeri mengambil peluang menjadi peneraju utama dalam pembangunan sumber tenaga hijau dan boleh diperbaharui.

Dalam titah Baginda pada Majlis Istiadat Pengurniaan Bintang-Bintang Darjah Kebesaran Negeri, semalam, Baginda berkenan supaya kerajaan Terengganu memanfaatkan Pelan Hala Tuju Ekonomi dan Teknologi Hidrogen Hijau (HETR) yang dijangka dapat membantu Malaysia meneroka pasaran global sumber hijau bernilai kira-kira RM824 bilion menjelang tahun 2050.

"Justeru itu, segala tumpuan kepada penyelidikan dan pembangunan untuk penghasilan hidrogen hijau melalui tenaga boleh baharu perlu diberi penekanan agar dapat dikembangkan teknologi pengeluarannya yang cekap serta mampan. 

"Selain itu, untuk pembangunan infrastruktur yang diperlukan bagi pengeluaran, penyimpanan dan pengedaran hidrogen hijau, kerajaan negeri haruslah menjalankan kerjasama dengan syarikat yang mempunyai kepakaran ini bagi mempercepatkan pembangunan industri hidrogen hijau.

"Dengan usaha yang betul, Beta yakin kerajaan negeri mampu menarik pelaburan dari dalam dan luar negara bagi membiayai pengeluaran hidrogen hijau," titah Baginda di Balairong Seri, Istana Syarqiyyah, pagi semalam.

Dalam pada itu, Sultan Mizan turut berkenan memaklumkan, kaedah pertanian moden 'vertical farming' yang pada hemat Baginda merupakan konsep pertanian masa depan dalam berdepan konflik guna tanah, cabaran kepada perubahan iklim serta keperluan bekalan makanan yang meningkat.

"Oleh yang demikian, Beta menyarankan model ini dapat dibangunkan menerusi 'proof of concept' (POC) supaya dapat menjadi contoh kepada pembangunan dengan menggunakan pendekatan yang lebih berinovasi.

"Melalui kaedah ini juga dapat mengawal sebarang penyakit secara lebih berkesan dengan pengendalian sisa buangan daripada sisa ternakan dan tanaman digunakan kembali secara komprohensif di dalam sektor 'circular economy' yang lain," titah Baginda.

Baginda turut menyatakan harapan dengan pengisytiharan Setiu sebagai Gedung Pengeluaran Makanan Negeri Terengganu, lebih banyak peluang pelaburan di dalam sektor pertanian yang dapat memberikan limpahan manfaat kepada rakyat negeri Terengganu. 

 


Tag: