• 17 Apr 2024 | 8 Syawal 1445

Sultan Terengganu Berkenan Rasmi Pertandingan Kenderaan Berhias

KUALA TERENGGANU, 17 September - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli merasmikan Pertandingan Perarakan Kenderaan Dan Beca Berhias bertempat di Dataran Batu Buruk, semalam.

Mengiringi baginda pada upacara itu, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu serta yang Amat Mulia Paduka anakanda-anakanda Sultan Terengganu; Yang Amat Mulia Tengku Sri Setia Mahkota Raja, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Utama Raja dan Yang Amat Mulia Tengku Puteri Daulath Raja.

Pertandingan kenderaan berhias diadakan adalah bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Ke-60 Keputeraan baginda.

Keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Yang Dipertua Dewan Undangan negeri (DUN), Datuk Yahya Ali, Setiausaha Kerajaan negeri, Tengku Seri Bijaya Raja, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil dan Pengerusi Jawatankuasa Induk Pertandingan Kenderaan Berhias, Dr Azman Ibrahim.

Sebanyak lapan buah daerah yang menyertai perarakan kenderaan berhias yang terdiri daripada Pejabat Daerah Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Marang, Dungun, Hulu Terengganu, Setiu, Besut dan Kemaman.

Manakala bagi perarakan beca berhias pula disertai oleh 16 anak syarikat kerajaan negeri yang terdiri daripada Primula Beach Resort, Duyong Marina Resort dan pelbagai lagi.

Perarakan bagi kenderaan dan beca berhias adalah sejauh kira-kira 3.2 kilometer yang bermula daripada Dataran Shah Bandar ke Dataran Batu Buruk.

 


Tag: