• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

Sultan Terengganu Kurnia Bantuan Aidilfitri

KUALA TERENGGANU, 31 Mac – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli mengurniakan sumbangan Aidilfitri kepada penerima dari seluruh daerah bertempat di Istana Syarqiyyah, Chendering, di sini baru-baru ini.

Terdahulu, ketibaan tiba baginda diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah bersama Yang Dipertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin serta Tengku Puteri Daulath Raja Tengku Fatimatuz Zahra.

Keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersama Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri.

Program yang bermula pada pukul 9.30 pagi itu diawali dengan bacaan ayat suci Al-Quran oleh Johan Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu 1445H, Abdul Hadi Che Abdul Halim serta diikuti dengan pengagihan sumbangan kepada penerima.

Pada majlis yang berlangsung di Dewan Santapan Diraja, Istana Syarqiyyah itu seramai 530 penerima terdiri daripada fakir miskin, pelajar-pelajar sekolah, veteran Angkatan Tentera, penggiat seni dan pesara daripada institusi Agama Islam.

Manakala, 500 penerima terdiri daripada fakir miskin wanita yang menerima sumbangan Yayasan Tuanku Nur Zahirah (YTNZ).

Sultanah Terengganu serta anakanda baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan tersebut.

Majlis tersebut berakhir sekitar jam 12.30 tengahari dengan bacaan doa penutup dibacakan oleh Mufti Terengganu, Datuk Dr Mohamad Sabri Haron sebelum baginda berangkat pulang dari majlis berkenaan.

 

 

 

 

 

 


Tag: