• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Sultan Terengganu Rasmi Wisma Audit Negeri Terengganu

KUALA TERENGGANU, 19 Mei - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli merasmikan Wisma Audit Negeri Terengganu yang merupakan bangunan Jabatan Audit Negara kelapan.

Keberangkatan tiba Baginda diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah bersama Yang di-Pertuan Muda Terengganu serta Tengku Puteri Daulath Raja pada jam 11.20 pagi.

Keberangkatan tiba Baginda disambut Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ;Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi ; Setiausaha Kerajaan Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja serta Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato' Mohd Nor Hamzah.

Wisma Audit Negeri Terengganu yang terletak di Kampung Pak Pa, Kawasan Pembangunan Bukit Besar di atas tanah berkeluasan 1.42 hektar dibina dengan kos sebanyak RM18.93 juta.

Wisma ini yang berkeluasan 5,120.95 meteri persegi itu menempatkan seramai 68 orang pegawai Jabatan Audit Negara.

Pembinaan Wisma Audit Negeri Terengganu yang merupakan Jabatan Audit Negara yang kelapan telah menjadi titik sejarah kepada institusi audit negara kerana selepas 118 tahun kewujudan Institusi Audit di Malaysia, Jabatan Audit Negara kini mempunyai bangunannya sendiri di negeri Terengganu.

Dalam pada itu, Dr Ahmad Samsuri ketika menyampaikan ucapan berkata pembinaan Wisma Audit negeri itu merupakan sebahagian daripada pelan pembangunan bandar baharu.

"Melibatkan komponen institusi kerajaan negeri, Kerajaan Persekutuan, perumahan komersil dan kemudahan awam di kawasan seluas 556 hektar di Bandar Raya Kuala Terengganu.

"Dengan berdiri Wisma Audit di sini pada hari ini, ia merupakan satu perkembangan penting dalam memperkasakan peranan audit dalam tatakelola dan penggunaan kewangan kerajaan dan agensinya," ujarnya.

Sementara itu, Datuk Wan Suraya ketika menyampaikan persembahan ucapan berkata Wisma Audit Negeri Terengganu itu menjadi satu mercu tanda serta lambang akauntabiliti dan integriti dalam sektor awam.

"Tugasan mencabar yang dipikul Jabatan Audit Negara amat memerlukan suasana tempat kerja yang berkualiti dan kondusif.

"Saya yakin dengan adanya Wisma Audit Negeri Terengganu ini akan memberi manfaat yang besar kepada warga Jabaatan Audit Negeri Terengganu untuk terus memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada sektor awam," ujarnya.

 


Tag: