• 22 Mei 2024 | 14 Zulkaedah 1445

Sultan Terengganu Titah Angkat Masjid Sebagai Pusat Komuniti Dinamik Masyarakat

MARANG, 4 Mei - "Selain merupakan tempat ibadah umat Islam, masjid merupakan institusi penting dalam membangun masyarakat. Peranan Masjid termasuklah sebagai agen menyatukan ummah dan membentuk kerohanian, kelimuan dan juga pusat rujukan," titah Sultan Terengganu.

Demikian titah Sultan MIzan Zainal Abidin ketika berkenan mencemar duli merasmikan Masjid Kampung Padang Mengkuang sempena Sambutan Ulang Tahun ke-62 Hari Keputeraan Baginda, semalam.

Baginda turut bertitah supaya fungsi masjid dapat dikembangkan kepada peningkatan ekonomi dan sosial masyarakat.

"Dalam mengimarahkan masjid, dua perkara perlu diteliti dan dilaksanakan iaitu merancang, membina serta mengislahkan masjid supaya menjadi tempat yang disukai untuk dikunjungi sebagai sebuah pusat komuniti yang dinamik dalam memenuhi keperluan umat Islam.

"Begitu juga masjid perlu diimarahkan dengan pengisian kerohanian, ilmu dan fungsi asalnya kekal sebagai tempat sujud dan beribadah dalam melaksanakan perintah Allah SWT," titah Baginda.

Sultan Mizan juga berkenan menyeru Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) memberi bimbingan kepada ahli jawatankuasa masjid dalam merancang fungsi kewangan masjid untuk lebih relevan dengan keperluam masa kini.

"Program yang melibatkan belia dan kanak-kanak seperti mengadakan Kem Solat dan Fardhu Ain, kelas tuisyen, pertandingan sukan dan lain-lain yang boleh menarik minat mereka dan berkumpul dan beraktiviti di masjid disamping menunaikan solat berjemaah.

"Dalam masa sama, jawatankuasa masjid boleh berperanan membantu Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dengan menyalurkan maklumat ahli kariah yang memerlukan bantuan untuk diambil tindakan seterusnya oleh Pusat Zakat MAIDAM.

"Sekali lagi, Beta mengharapkan setiap program yang dilaksanakan, ia dapat mencapai matlamat untuk memupuk perpaduan di kalangan masyarakat agar umat Islam bersatu padu dalam meninggikan syariat Islam di negeri yang kita cintai ini," titah Baginda.

Terdahulu, keberangkatan tiba Sultan Mizan diiringi Yang Di-Pertuan Muda Terengganu serta Yang Amat Mulia Tengku Sri Setia Mahkota Raja disambut Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato' Mohd Nor Hamzah dan ahli-ahli dewan undangan negeri serta pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri.

Majlis dimulakan dengan bacaan ayat suci al-Quran oleh bilal Masjid Abidin, Abdul Hadi Che Abdul Halim dan ucapan alu-aluan oleh Dr. Samsuri.

Sultan Mizan kemudian berkenan menyampaikan titah seterusnya menandatangani plak perasmian diiringi Yang Di-Pertuan Muda Terengganu.

Selepas menunaikan solat Jumaat, Baginda mencemar duli bersantap bersama rakyat sebelum berangkat pulang.

 


Tag: