Khidmat Malaysia Anjur Dapur Rakyat Ringankan Beban Mangsa Banjir
KUALA TERENGGANU, 20 Mei – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, menitahkan bakal jemaah haji negeri Terengganu untuk mendoakan kesejahteraan dan keselamatan negara sepanjang berada di Tanah Suci.
Dalam titahnya, baginda mengucapkan tahniah kepada semua bakal jemaah haji yang telah dipilih oleh Allah SWT untuk menunaikan ibadat haji.
Baginda menekankan bahawa jemputan itu adalah satu peluang yang amat istimewa dan harus dimanfaatkan sepenuhnya.
"Jangan lupa untuk memanjatkan doa ke hadrat Allah SWT sepanjang berada di Tanah Suci agar terus memelihara kesejahteraan negara Malaysia dan dijauhkan dari bencana yang tidak diingini," titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Majlis Pelepasan Bakal Jemaah Haji ke Tanah Suci, bertempat di Stesen Haji, Lapangan Terbang Sultan Mahmud, semalam. Titah ucapan baginda disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin.
Terdahulu, keberangkatan tiba baginda diiringi Tengku Puteri Daulath Raja, Tengku Fatimatuz Zahra, dan disambut oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, bersama isteri, Toh Puan Seri Tuan Faezah Tuan Abd Rahman, serta pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri.
Yang di-Pertuan Muda Terengganu turut berkenan mengurniakan sumbangan wang tunai kepada bakal jemaah haji tersebut.
Baginda mengingatkan para jemaah untuk melaksanakan kesemua rukun dan wajib haji dengan bersungguh-sungguh seperti yang telah dipelajari dalam kursus-kursus anjuran Tabung Haji.
Baginda memuji Tabung Haji serta agensi-agensi kerajaan dan swasta yang terlibat dalam operasi haji tahun ini atas persediaan yang rapi dan komitmen tinggi dalam menjaga kebajikan jemaah haji.
Di akhir titahnya, baginda mendoakan agar semua jemaah haji negeri Terengganu diberikan kemudahan oleh Allah SWT untuk mengerjakan ibadat haji dengan sempurna dan kembali dengan haji yang mabrur, Insya-Allah.